Perasaan yang menyeksa akibat kelaparan semakin saya rasai. Mentor saya telah mencadangkan puasa sebagai satu cara untuk fokus kepada Tuhan. Tetapi hari demi hari semakin berlalu, saya tertanya-tanya: Bagaimanakah Yesus berpuasa selama empat puluh hari? Saya bergelut untuk bersandar kepada Roh Kudus agar memiliki kedamaian, kekuatan dan kesabaran, terutamanya kesabaran.

Jika secara fizikal kita mampu, maka puasa boleh mengajar kita tentang kepentingan makanan rohani. Seperti yang dikatakan oleh Yesus, “Manusia tidak dapat hidup dengan roti sahaja, tetapi juga dengan setiap kata yang difirmankan oleh Allah” (Matius 4:4). Jadi, apa yang saya pelajari secara langsung adalah sekadar berpuasa tidak akan membawa kita lebih mendekati Tuhan!

Sebenarnya, Tuhan pernah memberitahu umatnya melalui nabi Zakharia bahawa amalan puasa mereka tidak berguna kerana ia tidak membawa mereka melayani orang miskin. Dia berfirman, “puasa dan ratapan yang dilakukan mereka … bukanlah penghormatan bagi-Ku” (Zakharia 7:5).

Apa yang dikatakan oleh Tuhan menunjukkan bahawa masalah utama manusia bukanlah soal perut; tetapi disebabkan oleh hati mereka yang dingin. Dengan terus-menerus melayani diri sendiri, mereka gagal untuk mendekati hati Tuhan. Oleh itu Dia menggesa mereka, “Kamu mesti berlaku adil, baik hati, dan berbelas kasihan kepada sesama kamu. Jangan tindas balu, anak yatim piatu, orang asing yang menetap di tengah-tengah kamu, atau sesiapa sahaja yang dalam keadaan susah” (ayat 9-10).

Tujuan setiap disiplin rohani yang kita amalkan adalah untuk mendekati Yesus. Ketika kita semakin menyerupai Dia, kita akan menunjukkan keprihatinan kepada orang yang dikasihi-Nya.