Di pinggir bandar Paris, seperti bandar-bandar lain di seluruh dunia, orang ramai datang untuk membantu orang yang tiada tempat tinggal dalam komuniti mereka. Pakaian yang dibungkus dalam beg kalis air telah digantung pada pagar yang ditetapkan bagi mereka yang tinggal di jalanan, agar mereka boleh mengambil barang-barang itu mengikut keperluan sendiri. Beg itu dilabel, “Saya sedia membantu jika anda kesejukan.” Usaha itu bukan sahaja menghangatkan mereka yang tidak memiliki tempat tinggal, tetapi juga mengajar orang dalam masyarakat bahawa betapa pentingnya untuk membantu orang yang serba kekurangan.
Alkitab menekankan kepentingan untuk menjaga kebajikan orang miskin, dan memerintahkan kita “bermurah hati” terhadap mereka (Ulangan 15:11). Kita mungkin akan dicubai untuk memalingkan pandangan kita daripada nasib orang miskin, memegang erat sumber bantuan kita dan bukannya berkongsi dengan mereka. Namun Tuhan mencabar kita mengakui bahawa kita akan sentiasa dikelilingi oleh orang yang kekurangan, oleh itu kita harus memberi respons kepada mereka dengan “rela dan murah hati” (ayat 10), bukannya dengan berasa berat hati. Yesus mengatakan bahawa dalam hal memberi kepada orang miskin, kita menerima harta yang kekal di syurga (Lukas 12:33).
Selain Tuhan, kemurahan hati kita mungkin tidak diketahui oleh orang lain. Tetapi apabila kita memberi secara sukarela, kita bukan sahaja memenuhi keperluan orang di sekeliling kita tetapi juga mengalami sukacita yang diberikan oleh Tuhan. Tolong kami ya Tuhan, agar kami memiliki mata dan tangan yang terbuka untuk membekalkan keperluan kepada orang yang Engkau tempatkan dalam kehidupan kami!