Darnell menjumpa ahli terapi fizikal dengan menjangka dia akan mengalami banyak kesakitan. Ahli terapi itu membentangkan dan melengkungkan lengannya, kemudian memegang tangannya dalam kedudukan yang tidak pernah dilakukan selama beberapa bulan sejak kecederaannya. Selepas mengurut setiap bahagian badan yang tidak selesa untuk beberapa saat, dia dengan lembut memberitahunya: “Baiklah, anda boleh berehat.” Darnell berkata kemudian, “Saya fikir saya telah mendengar itu sekurang-kurangnya lima puluh kali dalam setiap sesi terapi: ‘Baiklah, anda boleh berehat.’”
Darnell menyedari bahawa kata-kata ini juga boleh digunakan dalam kehidupannya. Dia boleh berehat dalam kebaikan dan kesetiaan Tuhan, dan bukannya bimbang.
Ketika Yesus menghampiri kematian-Nya, Dia tahu murid-murid-Nya perlu mempelajari ini. Mereka dengan cepatnya akan menghadapi satu masa pergolakan dan penganiayaan. Untuk mendorong mereka, Yesus berkata Dia akan mengutus Roh Kudus untuk hidup bersama mereka dan mengingatkan mereka tentang apa yang telah diajarkan-Nya (Yohanes 14:26). Jadi Dia boleh berkata, “Kesejahteraan Aku tinggalkan dengan kamu; kesejahteraan-Ku sendiri yang Aku berikan kepada kamu … Janganlah kamu risau dan janganlah takut” (ayat 27).
Kita boleh berasa gelisah tentang banyak perkara dalam kehidupan harian kita. Tetapi kita boleh bertumbuh dalam kepercayaan kita kepada Tuhan dengan mengingatkan diri kita bahawa Roh-Nya hidup di dalam kita—dan Dia memberikan kita kesejahteraan-Nya. Apabila kita bergantung pada kekuatan-Nya, kita dapat mendengar-Nya seperti kata-kata ahli terapi itu: “Baiklah, anda boleh berehat.”