Bekas vokalis utama Newsboys, Peter Furler menghuraikan persembahan lagu pujian band itu “Dia Memerintah” (He Reigns). Lagu ini menggambarkan dengan jelas tentang orang percaya dari setiap suku dan bangsa datang bersama untuk menyembah Tuhan dalam kesatuan. Furler memerhatikan bahawa setiap kali Newsboys menyanyikannya, dia dapat merasakan gerakan Roh Kudus dalam perhimpunan orang percaya.

Pengalaman Furler tentang persembahannya, “Dia Memerintah” (He Reigns) mungkin agak sama dengan orang ramai yang berkumpul di Yerusalem pada hari Pentakosta. Ketika para pengikut Yesus dipenuhi dengan Roh Kudus (Kisah Rasul-Rasul 2:4), hal-hal yang melampaui pengalaman sesiapa mula terjadi. Akibatnya, orang Yahudi yang mewakili setiap bangsa datang bersama dalam kekeliruan, kerana setiap orang mendengar bahasa mereka sendiri diucapkan untuk menyatakan keajaiban Tuhan (ayat 5-6,11). Petrus menjelaskan kepada orang ramai bahawa ini adalah untuk menggenap nubuat Perjanjian Lama yang Tuhan berkata, “Aku akan mencurahkan Roh-Ku ke atas semua orang” (ayat 17).

Paparan penuh kuasa Tuhan yang mengagumkan itu menjadikan orang ramai menerima pernyataan Petrus tentang Injil, menyebabkan tiga ribu orang juga mempercayai Yesus pada hari itu (ayat 41). Berikutan permulaan yang luar biasa ini, orang percaya baru itu kemudian kembali ke tempat mereka, dengan membawa berita baik itu bersama mereka.

Berita baik itu masih bergema pada hari ini—pesanan Tuhan yang penuh harapan kepada semua orang. Ketika kita memuji Tuhan bersama-sama, Roh-Nya bergerak di kalangan kita, membawa umat dari setiap bangsa bersama-sama dalam kesatuan yang indah. Dia memerintah!