Adiwira (superhero) dalam buku komik adalah sentiasa terkenal sejak dulu lagi. Pada tahun 2017 sahaja, enam filem superhero menyumbang lebih daripada $4 bilion dolar Amerika Syarikat) dalam jualan tiket panggung wayang. Tetapi kenapakah orang ramai begitu tertarik kepada filem-filem aksi yang hebat ini?
Mungkin ini disebabkan sebahagian kisah tersebut menyerupai Kisah Besar Tuhan. Kisah ini mempunyai seorang adiwira, seorang penjahat, orang ramai yang memerlukan penyelamatan, dan banyak aksi yang mengagumkan.
Dalam kisah ini, penjahat terbesar ialah Iblis, musuh jiwa kita. Tetapi terdapat banyak penjahat “kecil” juga. Dalam kitab Daniel, misalnya, salah seorang itu ialah Nebukadnezar, raja yang terkenal di dunia, yang memutuskan untuk membunuh sesiapa yang tidak menyembah patung gergasinya (Daniel 3:1-6). Apabila tiga pegawai Yahudi enggan berbuat demikian dengan berani (ayat 12-18), Tuhan secara dramatik menyelamatkan mereka dari relau yang bernyala-nyala (ayat 24-27).
Tetapi dalam perubahan plot yang mengejutkan, kita melihat hati penjahat ini mula berubah. Sebagai respons kepada peristiwa yang istimewa ini, Nebukadnezar berkata, “Pujilah Allah yang disembah Sadrakh, Mesakh, dan Abednego” (ayat 28).
Tetapi kemudian dia mengancam untuk membunuh sesiapa yang menentang Tuhan (ayat 29), kerana dia masih belum memahami bahawa Tuhan tidak memerlukan pertolongannya. Nebukadnezar akan belajar lebih lanjut tentang Tuhan dalam fasal 4—tetapi itu adalah cerita lain.
Nebukadnezar bukan hanya seorang penjahat, tetapi dia seorang yang telah menjejak dalam perjalanan rohani. Dalam kisah penebusan Tuhan, wira kita, Yesus, menghulurkan tangan kepada semua orang yang memerlukan penyelamatan—termasuk penjahat-penjahat di kalangan kita.