Seorang kawan saya, yang juga ialah kaunselor saya—melukis sebuah lukisan manusia lidi di atas sekeping kertas. Dia melabelkannya sebagai “sendiri pada masa peribadi”. Kemudian dia melukis garisan luar di sekitar gambar itu, kira-kira setengah inci lebih besar, dan menamakannya sebagai “sendiri pada masa awam”. Perbezaan antara dua gambar itu mewakili tahap integriti kita.

Saya merenungkan kata-katanya dan tertanya-tanya, Adakah saya orang yang sama semasa di khalayak ramai dan bersendirian? Adakah saya mempunyai integriti?

Paulus menulis surat kepada jemaah di Korintus, menenunkan kasih dan disiplin dalam ajaran-ajarannya untuk menjadi seperti Yesus. Ketika dia menghampiri penghujung surat ini (2 Korintus), dia menghadapi penuduh-penuduh yang mencabar integritinya dengan mengatakan bahawa dia keras dan tegas dalam suratnya tetapi lemah dalam perangainya (10:10). Pengkritik-pengkritik ini menggunakan kemahiran pertuturan untuk mengutip wang daripada pendengar-pendengar mereka. Sungguhpun Paulus memiliki tahap akademik tinggi, dia berbicara dengan terus dan jelas. “Aku tidak mengajarkan dan mengkhabarkan Berita Baik itu dengan kata-kata menurut kebijaksanaan manusia,” tulisnya dalam surat yang lebih awal, “Tetapi aku menyampaikannya dengan cara yang membuktikan bahawa Roh Allah berkuasa” (1 Korintus 2:4). Suratnya yang kemudian menyatakan integritinya: “Biarlah orang seperti itu sedar bahawa apabila kami bersama-sama kamu, kami akan bertindak seperti apa yang kami tulis dalam surat-surat kami” (2 Korintus 10:11).

Paulus mempersembahkan dirinya sebagai orang yang sama di khayalak umum mahupun ketika dia bersendirian. Bagaimanakah dengan kita?