Hati saya dipenuhi penghiburan selepas menghadiri pengebumian seorang wanita yang setia. Kehidupannya tidak hebat. Dia tidak dikenali oleh ramai di luar gereja, jiran, dan rakannya. Tetapi dia mengasihi Yesus, 7 anaknya dan 25 cucunya. Dia seorang yang mudah untuk ketawa, melayani dengan murah hati, dan boleh memukul sebiji sofbal sehingga ke jarak jauh.

Pengkhutbah berkata, “Lebih baik melawat keluarga yang berkabung daripada keluarga yang berpesta” (7:2). “Orang arif memikirkan kematian” kerana di sana kita mempelajari apa yang paling penting (7:4). Penulis ruang New York Times, David Brooks mengatakan 2 cara untuk menyatakan sifat baik seseorang, iaitu melalui maklumat tentang pengalaman kerjaya (résumé) dan sifat-sifat yang anda mahu diperkatakan pada masa pengebumian anda. Kadangkala kedua-dua cara ini bertindan, tetapi sering kali juga kelihatan bertentangan. Apabila wujudnya percanggahan, biasanya sifat-sifat baik dalam eulogi anda adalah lebih tepat.

Wanita dalam keranda itu tidak mempunyai sebuah ringkasan hidup (résumé), tetapi anak-anaknya bersaksi bahawa “dia pengamal setia Amsal 31” dan sepadan dengan penerangannya tentang seorang wanita yang cekap. Dia memberi inspirasi kepada mereka untuk mengasihi Yesus dan mengambil berat tentang orang lain. Seperti yang dikatakan Paulus, “Ikutlah teladanku, sebagaimana aku pun mengikut teladan Kristus” (1 Korintus 11:1), jadi mereka mencabar kita mencontohi kehidupan ibu mereka sebagaimana dia mencontohi Yesus.

Apakah yang akan diperkatakan semasa pengebumian anda? Apakah yang anda mahu diperkatakan? Tidak terlambat lagi untuk membina sifat baik yang disanjungi. Berehatlah dalam Yesus. Penyelamatan-Nya membebaskan kita hidup untuk Tuhan.