Kita akan berasa susah hati apabila kita diberitahu “tidak” atau “bukan sekarang,” terutamanya apabila kita merasakan Tuhan telah membuka sebuah pintu bagi kita untuk melayani orang lain. Pada awal pelayanan saya, dua peluang datang kepada saya apabila saya berfikir bahawa bakat dan kemahiran saya sepadan dengan keperluan gereja, tetapi akhirnya kedua-dua pintu itu ditutup. Setelah mengalami kedua-dua kekecewaan ini, satu tawaran yang lain datang, dan saya telah dipilih. Dengan panggilan pelayanan itu, disusulinya 13 tahun kerja-kerja penggembalaan yang menyentuh jiwa.
2 kali dalam Kisah Rasul-Rasul 16, Paulus dan temannya telah dipimpin oleh Tuhan untuk pergi ke tempat lain. Pertama, “Roh Allah tidak membenarkan mereka memberitakan firman Allah di wilayah Asia” (ayat 6). Kemudian, “Apabila mereka tiba di perbatasan Misia, mereka mencuba masuk ke wilayah Bitinia, tetapi Roh Yesus tidak membenarkan mereka” (ayat 7). Tanpa disedari oleh mereka, Tuhan mempunyai rancangan lain yang sesuai untuk pekerjaan dan para pekerja-Nya. Jawapan “tidak” daripada Tuhan bagi rancangan mereka sebelum itu meletakkan mereka di satu kedudukan yang belajar untuk mendengar dan yakin dengan pimpinan Tuhan (ayat 9-10).
Siapakah di kalangan kita tidak berasa sedih atas kehilangan yang menyakitkan? Kita berasa terluka apabila kita tidak mendapat sebuah pekerjaan tertentu, satu peluang pelayanan tidak menjadi kenyataan, serta perpindahan ke tempat lain harus ditangguh. Walaupun perkara-perkara seperti itu adalah membebankan untuk seketika, waktu sering mendedahkan bahawa “lencongan ” sebegini adalah sebenarnya pekerjaan Tuhan yang penuh kasih, untuk menghantar kita pergi ke tempat yang Dia mahu kita berada, dan kita amat bersyukur kepada Dia.