Thomas tahu apa yang perlu dilakukannya. Dia dilahirkan dalam keluarga miskin di India dan dibesarkan oleh orang Amerika sebagai anak angkat. Dia melihat keperluan kanak-kanak di pekan asalnya yang sangat mendesak. Maka, dia menyedari bahawa dia mesti menolong mereka. Thomas pun mula merancang untuk kembali ke Amerika Syarikat, menyelesaikan pengajiannya, menabung banyak wang, dan kembali ke kampung halamannya pada masa depan.
Kemudian setelah membaca Yakobus 2:14-18, rasul ini bertanya, “Tidak ada gunanya seorang Kristian berkata, “Saya beriman,” jika perbuatannya tidak membuktikan imannya.” Thomas mendengar gadis kecil di negara asalnya berseru sambil menangis kepada ibunya: “Tapi ibu, saya lapar sekarang!” Dia teringat akan zaman kanak-kanaknya apabila dia selalu menderita kelaparan—sering kali mencari makanan di dalam tong sampah. Thomas menyedari bahawa dia tidak dapat menunggu masa bertahun-tahun untuk memberi bantuan. Maka dia mengambil keputusan, “Saya akan mula sekarang!”
Pada hari ini, rumah anak yatim yang dimulakannya telah menerima seramai 50 orang kanak-kanak yang mendapat makanan serta pemeliharaan yang cukup dan baik, semata-mata kerana wujudnya seorang lelaki tidak menolak perkara yang diperintahkan oleh Tuhan.
Mesej daripada Yakobus ini juga dapat diterapkan dalam kehidupan kita juga. Iman kita dalam Yesus Kristus memberikan banyak kelebihan kepada kita, iaitu kita memiliki hubungan dengan Dia, kehidupan yang berkelimpahan, dan harapan pada masa depan. Tetapi apakah gunanya semua itu sekiranya kita tidak keluar untuk menjangkau dan menolong orang yang berada dalam kekurangan? Adakah anda mendengar seruan: “Saya lapar sekarang?”