Cucu saya yang berumur tiga tahun memulakan harinya dengan tidak senang hati. Dia tidak dapat mencari baju kegemarannya. Kasut yang hendak dipakainya terlalu panas. Dia berasa marah dan mendengus terhadap neneknya kemudian duduk menangis.
Saya bertanya, “Mengapakah kamu sangat marah?” Kami bercakap-cakap sebentar. Selepas dia bertenang, dengan lembut saya menyoalnya, “Adakah anda memperlakukan nenek dengan betul?” Dia merenung kasutnya kemudian menjawab,” Tidak, saya berbuat jahat. Saya minta maaf”.
Saya berasa terharu kerana dia bersikap jujur dan tidak menyangkal apa yang telah dilakukannya. Sejurus kemudian, kami berdoa dan memohon pengampunan serta pertolongan daripada Tuhan, agar kami tidak mengulangi kesalahan lagi.
Dalam Yesaya 1, Tuhan menegur umat-Nya mengenai kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan oleh mereka. Kes-kes rasuah dan ketidakadilan berleluasa, serta ramai orang mempergunakan anak-anak yatim dan para janda untuk keuntungan sendiri. Namun Tuhan bertindak balas dengan penuh belas kasihan dan memanggil orang Yehuda mengakui apa yang telah dilakukan, serta berpaling daripadanya: “Marilah kita selesaikan perkara ini. Walaupun kamu merah marak kerana dosa kamu, Aku akan mencuci kamu sehingga menjadi putih seperti salji” (Yesaya 1:18).
Tuhan sangat merindukan kita supaya bersikap terbuka dan mengakui dosa di hadapan-Nya. Tuhan melimpahkan pengampunan-Nya yang penuh kasih terhadap orang jujur: “Tetapi jika kita mengakui dosa kita kepada Allah, Dia akan menepati janji-Nya dan melakukan apa yang adil. Dia akan mengampunkan dosa kita dan membersihkan kita daripada segala perbuatan yang salah” (1 Yohanes 1:9). Oleh sebab Tuhan kita berbelas kasihan, maka satu permulaan yang baru sedang menunggu anda!