Giles Kelmanson, seorang renjer hidupan liar Afrika Selatan, menceritakan satu senario yang hebat. Dua ekor bejar madu bertarung dengan enam ekor singa. Walaupun jumlah singa itu lebih banyak, namun dua ekor bejar madu tersebut tetap melawan kerana tidak mahu mengalah kepada pemangsa buas yang bersaiz sepuluh kali lebih besar. Kumpulan singa menyangka bahawa pemburuan ini dapat menang dengan mudah, akan tetapi klip video menunjukkan bahawa bejar madu berjaya melarikan diri dengan begitu lagaknya.

Cerita Daud dan Goliat adalah lebih mustahil. Daud ialah orang muda dan tidak berpengalaman untuk melawan Goliat yang bertubuh besar dan garang. Dengan ketinggian yang tersergam daripada lawannya yang muda, Goliat memiliki kekuatan dan senjata yang tiada tandingannya—baju gangsa dan lembing gangsa yang tajam (1 Samuel 17:5-6). Daud selaku seorang gembala dan tidak berpengalaman, malah hanya membawa ali-ali sewaktu tiba di medan pertempuran untuk menghantar beberapa buku roti dan keju kepada abang-abangnya (ayat 17-18).

Goliat mencabar Israel bertempur tetapi tiada yang lain sanggup untuk berlawan. “Apabila Raja Saul dan tenteranya mendengar cabaran itu, mereka cemas dan sangat ketakutan” (ayat 11). Bayangkan kejutan yang dirasai oleh orang ramai sewaktu Daud melangkah masuk ke dalam medan perang itu. Apakah yang telah memberikan dia keberanian yang tidak dimiliki oleh pahlawan-pahlawan Israel? Bagi kebanyakan orang, mereka melihat Goliat. Goliat memenuhi pandangan mereka. Namun bagi Daud, dia melihat Tuhan. “Hari ini juga TUHAN akan menyerahkan [Goliat] ke dalam tanganku,” tegasnya (ayat 46). Sewaktu semua orang berfikir Goliat yang akan memenangi pertempuran ini, Daud percaya Tuhan adalah yang terlebih besar. Dengan hanya sebiji batu yang mengena tepat pada dahi Goliat, iman Daud terbukti benar.

Kita sering tergoda untuk percaya bahawa Goliat (masalah kita) menentukan jalan cerita. Namun Tuhan Yang Maha Kuasa. Dia menguasai jalan cerita kehidupan kita.