Barbara membesar di bawah pemeliharaan Kerajaan British pada tahun 1960-an. Tetapi apabila dia berumur 16 tahun, dia dan anaknya Simon yang baru lahir telah kehilangan tempat tinggal. Negaranya tidak lagi terikat untuk menanggung perbelanjaannya pada umur itu. Maka Barbara menulis surat kepada Ratu England untuk mendapatkan pertolongan dan dia menerima respons! Dengan penuh kasih, Ratu England telah mengatur supaya Barbara memiliki sebuah rumah sendiri.
Ratu England mempunyai sumber-sumber yang sesuai untuk menolong Barbara, dan pertolongannya yang penuh kasih dapat dilihat sebagai gambaran kecil tentang pertolongan Tuhan. Raja Syurgawi mengetahui segala yang kita perlukan dan dalam kedaulatan-Nya melaksanakan semua rancangan-Nya dalam hidup kita. Bagaimanapun, ketika Tuhan bekerja dalam hidup kita, Dia merindukan kita datang kepada-Nya. Dia mahu kita memberitahu segala keperluan dan kebimbangan kita kepada-Nya.
Orang Israel membawa masalah mereka kepada Tuhan demi pembebasan. Mereka menderita di bawah perhambaan Mesir dan berseru untuk mendapatkan pertolongan. Dia mendengar seruan mereka dan mengingat janji-Nya: “Allah melihat orang Israel diperhamba dan Dia mengambil berat tentang keadaan mereka” (Keluaran 2:25). Dia menyuruh Musa untuk membawa pembebasan kepada umat-Nya dan mengumumkan Dia akan membebaskan serta membawa mereka keluar dari negeri itu “ke suatu negeri yang luas, kaya, dan subur” (3:8).
Raja kita sangat gembira apabila kita datang kepada-Nya! Dengan penuh hikmah, Dia memberikan apa yang kita perlukan, bukan yang kita inginkan. Marilah kita bertenang dalam kedaulatan dan pemeliharaan-Nya yang penuh kasih.