Satu elemen yang menarik dalam bola sepak Inggeris adalah lagu pasukan yang dinyanyikan oleh para peminat pada awal setiap perlawanan. Lagu-lagu ini merangkumi lagu yang lucu (‘Glad All Over”), lagu yang aneh (“I’m Forever Blowing Bubbles”), dan lagu yang membawa kejutan. Sebagai contoh, Mazmur 23 merupakan lagu pasukan bagi sebuah kelab bola sepak, West Bromwich Albion. Kata-kata mazmur ini terpapar di depan stadium , menyatakan kepada semua orang yang datang untuk menonton perlawanan “West Brom Baggies” tentang penjagaan ketua Gembala yang baik dan hebat.
Dalam Mazmur 23, Daud mengatakan satu kenyataannya yang abadi, “Tuhan ialah gembalaku” (ayat 1). Kemudian penulis Injil Matius memberitahu kita, “Apabila Dia melihat orang ramai itu, Dia mengasihani mereka kerana mereka risau dan tidak berdaya, seperti kawanan domba tanpa gembala” (Matius 9:36). Dalam Yohanes 10, Yesus juga mengisytiharkan kasih dan keprihatinan-Nya kepada “domba” manusia dalam generasi-Nya. “Akulah gembala yang baik,” kata-Nya. “Gembala yang baik mengorbankan nyawa untuk kawanan dombanya” (ayat 11). Kasih Tuhan mendorong Yesus berhubung dengan orang ramai, menjawab keperluan mereka, dan akhir sekali mengorbankan diri bagi pihak mereka (dan kita).
“Tuhan ialah gembala-Ku” adalah bukan setakat lirik kuno atau slogan yang bijak. Mazmur ini merupakan satu kenyataan yang penuh yakin tentang apa ertinya dikenali dan dikasihi oleh Tuhan kita yang hebat—dan apa maksudnya diselamatkan oleh Anak-Nya.
ILHAM
Dalam kesusasteraan, apabila sebuah frasa diulang pada awal dan akhir suatu bahagian, ia dipanggil inclusio. Ini dapat diperlihatkan dalam Yohanes 10:11-15: "Gembala yang baik mengorbankan nyawa untuk kawanan dombanya" (ayat 11); " Aku memberikan nyawa-Ku bagi domba-domba-Ku" (ayat 15, ATB). Inclusio ini memberikan satu gambaran yang menarik tentang seorang gembala.Apabila kita memikirkan seorang gembala melindungi domba-dombanya, kita mungkin teringat akan pernyataan Daud tentang membunuh singa dan beruang yang menyerang dombanya (1 Samuel 17:34-36). Tetapi dalam petikan hari ini, daripada mengatakan bahawa gembala yang baik mempertahankan domba-domba itu daripada serangan serigala, petikan ini lebih menekankan elemen Tuhan mempersembahkan diri-Nya sebagai pengganti bagi domba-domba itu. Gembala yang baik adalah orang yang rela mengorbankan nyawa-Nya.