Satu elemen yang menarik dalam bola sepak Inggeris adalah lagu pasukan yang dinyanyikan oleh para peminat pada awal setiap perlawanan. Lagu-lagu ini merangkumi lagu yang lucu (‘Glad All Over”), lagu yang aneh (“I’m Forever Blowing Bubbles”), dan lagu yang membawa kejutan. Sebagai contoh, Mazmur 23 merupakan lagu pasukan bagi sebuah kelab bola sepak, West Bromwich Albion. Kata-kata mazmur ini terpapar di depan stadium , menyatakan kepada semua orang yang datang untuk menonton perlawanan “West Brom Baggies” tentang penjagaan ketua Gembala yang baik dan hebat.

Dalam Mazmur 23, Daud mengatakan satu kenyataannya yang abadi, “Tuhan ialah gembalaku” (ayat 1). Kemudian penulis Injil Matius memberitahu kita, “Apabila Dia melihat orang ramai itu, Dia mengasihani mereka kerana mereka risau dan tidak berdaya, seperti kawanan domba tanpa gembala” (Matius 9:36). Dalam Yohanes 10, Yesus juga mengisytiharkan kasih dan keprihatinan-Nya kepada “domba” manusia dalam generasi-Nya. “Akulah gembala yang baik,” kata-Nya. “Gembala yang baik mengorbankan nyawa untuk kawanan dombanya” (ayat 11). Kasih Tuhan mendorong Yesus berhubung dengan orang ramai, menjawab keperluan mereka, dan akhir sekali mengorbankan diri bagi pihak mereka (dan kita).

“Tuhan ialah gembala-Ku” adalah bukan setakat lirik kuno atau slogan yang bijak. Mazmur ini merupakan satu kenyataan yang penuh yakin tentang apa ertinya dikenali dan dikasihi oleh Tuhan kita yang hebat—dan apa maksudnya diselamatkan oleh Anak-Nya.