Pada tahun 2016, apabila pasukan besbol Kelab Chicago memenangi Siri Dunia untuk kali pertama setelah lebih daripada 100 tahun lamanya, dianggarkan seramai lima juta orang telah berhimpun di pusat bandar untuk merayakan kejuaraan tersebut.
Perarakan kemenangan bukanlah sesuatu perkara yang baru direka. Satu perarakan kuno yang terkenal ialah Kemenangan Rom, dan pada masa itu jeneral yang menang akan memimpin perarakan tenteranya bersama tawanan perang melalui laluan yang penuh sesak dengan orang ramai.
Perarakan kemenangan inilah yang berada dalam minda Paulus sewaktu dia menulis kepada jemaah di Korintus, dan bersyukur kepada Tuhan kerana Dia memimpin orang percaya “menyertai perarakan kemenangan Kristus” (2 Korintus 2:14). Saya mendapati bahawa gambaran ini sangat menarik, kerana dalam gambaran ini orang percaya merupakan orang tawanan. Bagaimanapun, sebagai orang percaya, kita bukan peserta secara paksaan. melainkan “tawanan” yang rela menyertai perarakan yang diketuai oleh Kristus yang menang dan bangkit. Sebagai Kristian, kita amat bersukacita kerana melalui kemenangan Kristus, Dia sedang membina jemaah-Nya. Bahkan maut pun tidak dapat memusnahkannya (Matius 16:18).
Apabila kita bercakap tentang kemenangan Kristus pada kayu salib dan kebebasan yang diberikan-Nya kepada orang percaya, “berita tentang Kristus tersebar seperti bau yang harum semerbak ke merata tempat” (2 Korintus 2:14). Sama ada orang akan menghidu bau harum daripada kuasa penyelamatan yang menyenangkan, ataupun bau kekalahan, bau harum yang berkuasa tetapi tidak kelihatan tetap hadir di setiap tempat yang kita berada.
Apabila kita mengikut Kristus, kita mengisytiharkan kemenangan kebangkitan-Nya, iaitu kemenangan yang memberikan penyelamatan kepada dunia.