Sewaktu menghentikan kereta di depan lampu isyarat merah, saya nampak lelaki yang sama berdiri di tepi jalan raya lagi. Dia memegang kadbod yang tertulis: Tolong berikan aku wang untuk beli makanan. Saya mengalihkan pandangan saya ke tempat lain dan mengeluh. Adakah saya jenis orang yang tidak mempedulikan orang yang berada dalam kekurangan?
Ada orang yang berpura-pura berada dalam kesusahan tetapi sebenarnya mereka ialah penipu yang mahir. Orang lain pula benar-benar bermasalah tetapi berasa sukar untuk berhadapan dengan tabiat diri yang membinasakan. Para pekerja sosial menasihati agar lebih baik memberi sumbangan terus kepada pelayanan tempatan yang menghulurkan bantuan di bandar kita. Maka saya terus memandu lalu. Saya berasa sedih, tetapi saya harus bertindak dengan bijak.
Tuhan memerintah kita “supaya memberikan amaran kepada orang yang malas bekerja, menabahkan hati orang yang takut, menolong orang yang perlu ditolong” (1 Tesalonika 5:14). Untuk dapat melakukan hal ini dengan baik, kita perlu tahu orang yang tergolong dalam kategori tertentu. Jika kita memberi amaran kepada orang yang lemah, itu akan meremukkan semangat mereka; tetapi apabila kita menolong seseorang yang tidak bekerja, kita mungkin menggalakkan sifat malas mereka. Oleh itu, kita dapat memberikan pertolongan yang sebaiknya apabila kita mengenal seseorang itu dengan cukup baik sehingga kita mengetahui apa yang diperlukannya.
Adakah Tuhan telah menggerakkan hati anda untuk membantu seseorang? Bagus! Sekarang tindakan itu sedang bermula. Jangan menganggap bahawa anda mengetahui keperluan seseorang. Mintalah orang itu menceritakan tentang dirinya dan dengar apa yang dikatakannya. Dengan berdoa, berilah bantuan dengan bijak dan bukan setakat untuk berasa senang hati terhadap diri sendiri. Apabila kita “sentiasa berusaha untuk saling berbuat baik dan menolong semua orang” dengan kesungguhan, kita akan lebih bersedia untuk “bersabar terhadap semua orang,” walaupun ketika mereka jatuh tersandung (ayat 14-15).