Seorang pengurus syarikat di Brazil meminta laporan bertulis daripada para tukang bersih dalam bangunannya. Pada setiap hari, dia ingin mengetahui orang yang bertanggungjawab membersihkan setiap bilik, bilik yang belum dibersihkan, dan masa yang diambil oleh setiap pekerja untuk membersihkan setiap bilik. Laporan “harian” pertama dihantar seminggu kemudian dalam keadaan yang tidak lengkap.
Ketika pengurus tersebut memerhatikan hal itu, dia mendapati bahawa kebanyakan pekerja yang melakukan tugas-tugas pembersihan adalah buta huruf. Dia boleh sahaja memecat para pekerja itu, sebaliknya dia mengatur kelas belajar untuk mereka. Dalam masa 5 bulan, setiap pekerja telah menguasai kemahiran membaca yang asas dan meneruskan tugas mereka.
Tuhan sering memakai pergelutan kita sebagai peluang untuk melengkapi diri kita agar kita dapat terus bekerja untuk Dia. Kehidupan Petrus ditandakan kurang berpengalaman dan banyak kesilapan. Imannya goyah apabila dia berjalan di atas air. Dia tidak pasti sama ada Yesus perlu membayar cukai Rumah Tuhan (Matius 17:24-27). Dia juga menolak nubuat Kristus tentang penyaliban dan kebangkitan (Matius 16:21-23). Melalui setiap isu ini, Yesus banyak mengajar Petrus tentang siapa diri-Nya Mesias yang telah dijanjikan (ayat 16). Petrus mendengar dan belajar apa yang dia perlu ketahui untuk memulakan gereja yang awal (ayat 16).
Sekiranya anda berasa tawar hati kerana beberapa kesilapan pada hari ini, ingatlah bahawa Yesus mungkin memakai perkara itu untuk mengajar dan memimpin anda dalam pelayanan Tuhan. Dia terus bekerja dalam diri Petrus meskipun dia ada banyak kelemahan. Yesus juga dapat memakai kita untuk membina Pemerintahan-Nya sehingga Dia kembali.