Ketagihan dadah merupakan hal yang sangat tragis dan memilukan. Penagih menjadi terbiasa sehingga kandungan yang lebih besar diperlukan untuk kesan khayalan yang sama. Tidak lama kemudian mereka akan mencari dos yang lebih tinggi dan akan membunuh mereka. Apabila penagih mendengar bahawa seseorang yang meninggal akibat sukatan dadah yang tinggi, fikiran pertama mereka bukan ketakutan, melainkan “Di manakah saya boleh mendapatkannya?”
C. S. Lewis memberi amaran tentang hal ini dalam bukunya yang bertajuk The Screwtape Letters. Dalam buku yang terhasil melalui imaginasinya ini, dia menulis tentang penjelasan satu roh jahat terhadap godaan. Godaan bermula dengan kenikmatan—jika mungkin, dimulakan dengan kenikmatan yang diizinkan Tuhan dan memberikannya dengan cara yang telah dilarang oleh Tuhan. Apabila seseorang itu tergoda, Iblis akan mengurangkan kenikmatan itu supaya dia mahu mendapatkan yang lebih lagi. “Satu keinginan yang semakin membesar untuk kenikmatan yang semakin menghilang” terus dicetuskan sehingga akhirnya Iblis mendapat jiwa orang itu tanpa memberikan apa-apa kepadanya.
Amsal 7 menggambarkan akibat godaan dosa seksual yang menghancurkan. Seks merupakan pemberian Tuhan yang baik tetapi apabila kita mencari kenikmatan seksual di luar pernikahan, maka kita akan menjadi “seperti lembu yang akan disembelih” (ayat 22). Orang yang lebih kuat daripada kita telah menghancurkan diri mereka dengan mencari kenikmatan yang menyakitkan, maka “perhatikanlah” dan “jangan hatimu membelok ke jalan-jalan [salah]” (ayat 24-25, Alkitab TB). Dosa sangat menggoda dan mengakibatkan ketagihan, tetapi sentiasa berakhir dengan maut (ayat 27). Dengan mengelakkan godaan berbuat dosa—dengan kekuatan Tuhan—kita dapat menemukan sukacita sebenar dan kelimpahan hidup dalam Dia.