Sewaktu berkhidmat dalam tentera dan berpangkalan di Jerman, saya telah membeli sebuah Volkswagen Beetle 1969 yang baru. Warna hijau gelap di bahagian luar berpadan dengan tempat duduk yang diperbuat daripada kulit tiruan berwarna coklat adalah cantik sekali. Akan tetapi setelah beberapa tahun lamanya, banyak hal mula berlaku termasuk kemalangan yang merosakkan bahagian sisi dan salah sebuah pintu kereta tersebut. Saya berfikir, “Kereta klasik saya ini memang memerlukan pemulihan!” Jika saya mempunyai kewangan yang berlebihan, saya pasti dapat melakukannya. Tetapi hal itu tidak berlaku.

Syukur kepada Tuhan yang memiliki visi yang sempurna dan sumber yang tidak terhad kerana tidak meninggalkan orang yang terpukul dan hancur hati. Mazmur 85 berbicara tentang orang yang harus dipulihkan dan Tuhan yang mampu untuk memulihkan. Kisah ini berkemungkinan besar berlaku sewaktu orang Israel kembali daripada pembuangan selama 70 tahun (hukuman ke atas mereka kerana memberontak Tuhan). Apabila mengimbas kembali, mereka dapat melihat kebaikan Tuhan—termasuk pengampunan-Nya (ayat 1-3). Mereka tergerak untuk meminta pertolongan-Nya (ayat 4-7) dan mengharapkan perkara-perkara yang baik daripada-Nya (ayat 8-13).

Adakah sesiapa di antara kita yang tidak pernah berasa terpukul, terluka dan hancur? Dan kadangkala ia berlaku kerana sesuatu yang kita lakukan ke atas diri kita. Tetapi oleh sebab Tuhan membawa pemulihan dan pengampunan, maka orang yang datang kepada-Nya dengan penuh kerendahan hati akan memiliki harapan. Dengan tangan yang terbuka, Dia mengalu-alukan mereka yang datang kepada-Nya, dan mereka akan menemukan keselamatan dalam tangan-Nya.