Saya tidak akan melupakan peristiwa sewaktu saya membawa bakal isteri saya bertemu dengan keluarga saya. Dengan mata yang bersinar, dua abang saya menanyakannya, “Apakah keistimewaan lelaki ini sebenarnya yang menyebabkan anda menyukainya?” Dia tersenyum dan meyakinkan mereka bahawa rahmat Tuhan telah mengubah lelaki ini menjadi orang yang dicintainya.
Saya menyukai respons bijak itu kerana ia juga mencerminkan bagaimana Tuhan juga melihat diri kita dalam Kristus, bukan sekadar masa lampau kita. Dalam Kisah Rasul-Rasul 9, Tuhan memimpin Ananias untuk menyembuhkan Saulus, seorang penganiaya jemaah Tuhan yang telah dibutakan oleh Tuhan. Ananias berasa ragu-ragu untuk menerima misi ini dan menyatakan bahawa Saulus sudah mengumpulkan orang percaya untuk dianiaya bahkan dibunuh. Tuhan memberitahu Ananias agar jangan memfokuskan masa lampau Saulus, melainkan melihat bagaimana dia akan berubah: seorang penginjil yang akan membawa Injil kepada seluruh dunia yang dikenali ketika itu termasuk bangsa-bangsa bukan Yahudi dan raja-raja (ayat 15). Ananias melihat Saulus sebagai orang Farisi dan penganiaya, tetapi Tuhan melihat dia sebagai rasul Paulus dan seorang penginjil.
Kadangkala kita melihat diri kita daripada perspektif segala kelemahan dan kegagalan kita pada masa lampau. Tetapi Tuhan melihat kita sebagai ciptaan baru, dan bukan siapa kita sebelumnya, melainkan siapa kita dalam Yesus yang berubah melalui kuasa Roh Kudus. Ya Tuhan, tolong kami melihat diri kami dan orang lain dengan cara ini!