Pada suatu hari, saya telah dijemput untuk bertemu dengan seorang pemain piano yang terkenal di dunia. Saya telah dibesarkan dalam bidang muzik—bermain violin dan piano, dan terutamanya menyanyi solo di gereja serta acara-acara lain—jadi saya amat teruja apabila mendapat peluang ini.

Apabila saya bertemu dengan pemain piano tersebut, saya mendapati dia tidak fasih berbahasa Inggeris; dan saya terkejut apabila dia menyediakan sebuah selo untuk saya mainkan—alat muzik yang saya tidak pernah belajar. Dia berkeras agar saya bermain alat muzik tersebut bersamanya. Dalam cubaan beberapa kali untuk meniru cara memainkan violin, saya mengeluarkan beberapa not muzik yang sumbang. Akhirnya saya mengalah dan itu sahajalah pertemuan kami.

Kemudian saya terjaga, tersedar daripada mimpi itu. Bagaimanapun, oleh sebab senario muzik dalam mimpi itu adalah benar, satu pertanyaan berlegar dalam fikiran saya, “Mengapakah saya tidak memberitahunya bahawa saya boleh menyanyi?”

Tuhan telah melengkapi kita untuk mengembangkan bakat semula jadi dan kurnia rohani untuk kebaikan semua orang (1 Korintus 12:7). Apabila kita membaca Alkitab dengan hati yang berdoa dan menerima nasihat orang lain, kita akan lebih memahami kurnia unik kita. Rasul Paulus mengingatkan bahawa apa pun kurnia kita, kita harus mengambil masa untuk mencari dan menggunakannya, kerana Roh “memberi setiap orang kurnia yang berlainan menurut kehendak-Nya sendiri” (1 Korintus 12:11).

Marilah kita menggunakan “suara” yang telah dikurniakan Roh Kudus untuk memuliakan Tuhan dan melayani umat Yesus yang lain.