Baru-baru ini, saya dan isteri saya pergi ke Santa Barbara, California, Amerika—bandar yang kami bertemu buat pertama kalinya serta jatuh cinta 35 tahun yang lalu. Kami merancang untuk melawat beberapa tempat yang kami pernah meluangkan masa bersama semasa kami masih muda. Tetapi apabila kami tiba di restoran Mexico kegemaran kami, ia telah bertukar menjadi sebuah bangunan stor pembekal di situ. Sebuah plak besi telah tergantung pada dinding untuk memperingati restoran tersebut serta perkhidmatannya kepada masyarakat selama empat dekad.
Saya menatap laluan pejalan kaki yang kini tiada pelanggan, yang pernah diletakkan meja-meja yang berwarna-warni dan payung-payung yang berwarna terang. Banyak yang telah berubah di sekeliling kita! Namun di tengah-tengah perubahan itu, kesetiaan Tuhan tidak pernah berubah. Dengan perasaan yang amat pilu, Daud mengamati keadaan hidup manusia: “Manusia bagaikan rumput, yang tumbuh dan mengembang seperti bunga di padang. Apabila ditiup angin, bunga pun hilang, tiada orang melihatnya lagi. Tetapi TUHAN tetap mengasihi orang yang menghormati Dia,dan kebaikan-Nya berlangsung selama-lamanya” (Mazmur 103:15-17). Daud menyimpulkan Mazmur itu dengan kata-kata ini: “Pujilah TUHAN, hai jiwaku!” (ayat 22).
Ahli falsafah purba, Heraclitus mengatakan, “Anda tidak akan dapat melangkah masuk ke sungai yang sama sebanyak dua kali.” Situasi kehidupan sentiasa berubah di sekeliling kita, tetapi Tuhan tetap sama dan sentiasa dapat dipercayai untuk menunaikan janji-janji-Nya! Kesetiaan dan kasih-Nya boleh dipercayai daripada generasi kepada generasi yang seterusnya.