Pada tahun 1957, Melba Pattilo Beals telah terpilih menjadi salah seorang daripada “Little Rock Nine,” iaitu 9 pelajar berkulit hitam berbangsa Amerika yang pertama kali belajar di Pusat Sekolah Menengah, Little Rock, Arkansas, Amerika. Sekolah itu sebelumnya hanya dihadiri oleh pelajar berkulit putih. Dalam memoirnya pada tahun 2018, I Will Not Fear: My Story of a Lifetime of Building Faith under Fire, Beals menyatakan kisahnya yang menyayat hati ketika dia menghadapi ketidakadilan dan gangguan dengan berani pada setiap hari sebagai seorang pelajar yang berumur 15 tahun.
Akan tetapi, dia juga menulis mengenai imannya yang sungguh-sungguh dalam Tuhan. Pada masa yang kelam, apabila ketakutan hampir menenggelaminya, Beals mengulangi ayat-ayat dalam Alkitab yang dipelajari daripada neneknya sewaktu dia masih kecil. Apabila dia membaca ayat-ayat Alkitab itu, dia diingatkan bahawa Tuhan menyertainya, dan firman Tuhan memberikan dia kekuatan untuk bertahan.
Beals berulang-ulang membaca Mazmur 23, dan berasa terhibur dengan berkata, “Walaupun aku melalui tempat yang gelap gelita, aku tidak akan takut, ya TUHAN, kerana Engkau menyertai aku” (ayat 4). Galakan daripada neneknya juga sentiasa kedengaran di telinganya, meyakinkan dia bahawa Tuhan “itu sangat dekat, dan anda hanya perlu meminta pertolongan-Nya dengan memanggil Dia.”
Walaupun situasi-situasi kita mungkin berbeza-beza, semua orang mungkin akan menghadapi pergelutan yang susah dan kesukaran yang luar biasa, sehingga membuat kita mudah takut. Pada masa-masa itu, semoga hati kita menemukan galakan dalam kebenaran bahawa hadirat Tuhan yang amat berkuasa sentiasa menyertai kita.
ILHAM
Mazmur 23, ditulis oleh Daud, adalah satu pernyataan tentang kepercayaan kepada Tuhan. Gambaran tersebut adalah metafora mengenai Tuhan sebagai Gembala yang memimpin umat-Nya (ayat 1)—suatu metafora yang biasa digunakan untuk raja-raja (2 Samuel 5:2; Yesaya 44:28). Gembala memimpin pemazmur ke "air yang tenang" (Mazmur 23:2) dan "di jalan yang benar" (ayat 3), menunjukkan ketenangan yang menyokong perjalanan kita walaupun "melalui tempat yang gelap gelita" (ayat 4).Tongkat dan gada (ayat 4) biasanya digunakan oleh gembala untuk membimbing dan melindungi domba. Daud mengetahuinya daripada pengalamannya menjaga domba ayahnya bahawa peralatan tersebut harus digunakan secara aktif untuk memastikan keselamatan domba (1 Samuel 17:34–35). Kebaikan dan kasih Tuhan akan mengiringinya yang dinyatakan itu juga merupakan perbuatan aktif—kata radaph dalam bahasa Ibrani boleh diterjemahkan sebagai "mengejar." Kata-kata terakhir ini mengesahkan bahawa Tuhan akan menyertai Daud sepanjang hidupnya di bumi dan di syurga, tempat dia akan “tinggal di dalam rumah TUHAN selama-lamanya” (Mazmur 23:6, AVB).