Pada tahun 1957, Melba Pattilo Beals telah terpilih menjadi salah seorang daripada “Little Rock Nine,” iaitu 9 pelajar berkulit hitam berbangsa Amerika yang pertama kali belajar di Pusat Sekolah Menengah, Little Rock, Arkansas, Amerika. Sekolah itu sebelumnya hanya dihadiri oleh pelajar berkulit putih. Dalam memoirnya pada tahun 2018, I Will Not Fear: My Story of a Lifetime of Building Faith under Fire, Beals menyatakan kisahnya yang menyayat hati ketika dia menghadapi ketidakadilan dan gangguan dengan berani pada setiap hari sebagai seorang pelajar yang berumur 15 tahun.

Akan tetapi, dia juga menulis mengenai imannya yang sungguh-sungguh dalam Tuhan. Pada masa yang kelam, apabila ketakutan hampir menenggelaminya, Beals mengulangi ayat-ayat dalam Alkitab yang dipelajari daripada neneknya sewaktu dia masih kecil. Apabila dia membaca ayat-ayat Alkitab itu, dia diingatkan bahawa Tuhan menyertainya, dan firman Tuhan memberikan dia kekuatan untuk bertahan.

Beals berulang-ulang membaca Mazmur 23, dan berasa terhibur dengan berkata, “Walaupun aku melalui tempat yang gelap gelita, aku tidak akan takut, ya TUHAN, kerana Engkau menyertai aku” (ayat 4). Galakan daripada neneknya juga sentiasa kedengaran di telinganya, meyakinkan dia bahawa Tuhan “itu sangat dekat, dan anda hanya perlu meminta pertolongan-Nya dengan memanggil Dia.”

Walaupun situasi-situasi kita mungkin berbeza-beza, semua orang mungkin akan menghadapi pergelutan yang susah dan kesukaran yang luar biasa, sehingga membuat kita mudah takut. Pada masa-masa itu, semoga hati kita menemukan galakan dalam kebenaran bahawa hadirat Tuhan yang amat berkuasa sentiasa menyertai kita.