Salah satu kenangan tentang gereja pada zaman kanak-kanak saya ialah seorang pastor berjalan menuju para jemaah, mencabar kami “ingatlah air baptisan kami”. Mengingat air itu? Saya bertanya kepada diri sendiri. Bagaimanakah saya boleh mengingat air tersebut? Kemudian pastor itu terus menyimbah setiap orang dengan air, membuat saya berasa gembira dan bingung pada masa yang sama sebagai seorang kanak-kanak kecil.

Mengapakah kita harus memikirkan baptisan? Apabila seseorang dibaptis, kepentingannya bukan sekadar air. Pembaptisan melambangkan melalui kepercayaan kepada Yesus, kita menerima sifat-sifat Kristus (Galatia 3:27). Atau dengan kata-kata lain, kita meraikan bahawa kita dimiliki oleh Yesus dan Dia hidup di dalam kita.

Jika itu tidak cukup bermakna, ayat Alkitab memberitahu kita bahawa jika kita telah menerima sifat-sifat Kristus, maka identiti kita ada di dalam Dia. Kita ialah anak-anak Tuhan (ayat 26). Oleh itu, kita telah berbaik semula dengan Tuhan kerana kita percaya kepada Kristus—bukan kerana mengikut hukum Perjanjian Lama (ayat 23-25). Kita tidak mengasingkan diri dengan yang lain disebabkan oleh jantina, budaya dan status. Kita telah dibebaskan dan menjadi satu melalui Kristus, dan sekarang kita ialah milik Kristus sendiri (ayat 29).

Justeru itu, kita ada alasan yang baik untuk mengingat baptisan dan semua lambangnya. Kita tidak sekadar memfokuskan perbuatan baptisan itu sendiri, melainkan kebenaran bahawa kita kepunyaan Yesus dan menjadi anak-anak Tuhan. Identiti, masa depan dan kebebasan rohani kita ada dalam Dia.