Desmond Doss memasuki tentera semasa Perang Dunia Kedua. Walaupun kepercayaan agamanya melarang dia membawa pistol, Doss mampu berkhidmat sebagai ahli perubatan di tempat pertempuran. Dalam satu pertempuran, dia mampu bertahan daripada tembakan musuh yang sengit dan berulang-ulang serta menarik seramai 75 orang askar dalam unitnya ke tempat selamat setelah mereka cedera. Kisahnya diceritakan dalam dokumentari The Conscientious Objector (Penolak Berdasarkan Hati Nurani) dan dimainkan dalam filem Hacksaw Ridge.

Satu senarai nama tokoh iman Kristian merangkumi watak-watak yang sangat berani seperti Abraham, Musa, Daud, Elia, Petrus dan Paulus. Namun ada juga tokoh-tokoh iman yang tidak dikenali seperti Yusuf dari Arimatea dan Nikodemus, yang berani mengambil risiko ke atas pendirian iman mereka terhadap para pemimpin Yahudi, dengan mengambil jenazah Yesus yang telah disalibkan, mengebumikannya dengan baik dan penuh hormat (Yohanes 19:40-42). Ini merupakan satu tindakan yang berani daripada seorang pengikut Yesus yang misteri. Sebelum ini, Nikodemus hanya berani mengunjungi Yesus pada waktu malam (ayat 38-39). Yang lebih mengagumkan lagi, mereka berpegang teguh pada pendirian iman mereka sebelum Yesus bangkit dari kubur dan mengalahkan maut. Mengapakah demikian?

Mungkin penyaliban Yesus dan peristiwa yang berlaku selepas itu (Matius 27:50–54) telah membentuk iman muda para pengikut yang takut ini. Mungkin mereka belajar untuk menumpukan perhatian kepada Tuhan lebih daripada apa yang dapat dilakukan manusia ke atas mereka. Apa pun inspirasinya, semoga kita mengikut contoh mereka dan menunjukkan keberanian untuk mengambil risiko demi iman kita dalam Tuhan—untuk kebaikan orang lain pada hari ini.