Saya merenung ke arah bukit bukau hijau yang beralun di Lancashire, utara England, melihat pagar batu yang memagar beberapa ekor domba di sekeliling bukit. Awan-awan gebu bergerak melintasi langit yang cerah, dan saya menyedut udara sedalam-dalamnya, menikmati pemandangan ini. Apabila saya menceritakan pemandangan yang indah itu kepada seorang wanita yang bekerja di pusat retret yang saya kunjungi, dia berkata, “Tahukah anda, sebelum ini saya tidak pernah memerhatikan pemandangan itu sehingga para pelanggan kami menunjukkannya kepada saya. Sudah lama kami tinggal di sini; dan dahulu ketika kami masih bekerja sebagai petani, tempat ini cumalah pejabat bagi kami!”
Kita boleh melepaskan hadiah yang ada tepat di hadapan kita dengan mudah, terutamanya keindahan yang boleh dikesan dalam kehidupan seharian kita. Kita juga boleh melepaskan keindahan cara Tuhan bekerja dalam dan di sekeliling kita dengan mudah setiap hari. Tetapi orang yang percaya kepada Yesus boleh meminta Roh Tuhan untuk membuka fikiran kita supaya kita boleh memahami cara Dia sedang bekerja, seperti yang ditulis oleh Rasul Paulus dalam suratnya kepada jemaah di Efesus. Paulus memohon Tuhan agar Tuhan memberikan mereka kebijaksanaan dan wahyu untuk lebih mengenal Dia (Efesus 1:17). Dia berdoa agar fikiran mereka akan terbuka supaya mereka boleh mengetahui harapan, masa depan yang terjamin, dan kuasa Tuhan (ayat 18-19).
Kurniaan Tuhan daripada Roh Kristus dapat menyedarkan kita bahawa Tuhan sedang bekerja dalam dan melalui kita. Dengan hadirat Tuhan, apa yang suatu waktu dahulu kelihatannya seperti “hanya sebuah pejabat” dapat difahami sebagai sebuah tempat yang mempamerkan cahaya dan kemuliaan-Nya.