Dave menyukai pekerjaannya, tetapi untuk tempoh yang lama, dia berasa bahawa ada tugas lain yang menarik minatnya. Sekarang dia sudah hampir memenuhi impiannya dan melangkah masuk ke dalam kerja misi. Tetapi anehnya, dia mula berasa amat ragu-ragu.
“Saya tidak layak,” kata Dave kepada seorang sahabatnya. “Pihak misi tidak benar-benar mengenal saya. Saya tidak cukup baik.”
Ramai orang juga berasa ragu-ragu akan diri sendiri seperti Dave. Apabila menyebutkan nama Musa, kita pasti sahaja terfikir mengenai kepimpinan, kekuatan, dan Sepuluh Hukum. Kita cenderung lupa bahawa Musa melarikan diri ke padang gurun selepas membunuh seorang lelaki. Kita lupa bahawa dia menjadi orang buruan selama 40 tahun. Kita tidak mengendahkan masalah kemarahan dan keengganannya yang kuat untuk mentaati Tuhan.
Ketika Tuhan menampakkan diri dengan perintah-Nya (Keluaran 3:1-10), Musa mengatakan bahawa dia tidak cukup baik untuk tugas yang dipercayakan Tuhan kepadanya. Musa malah memulakan hujah yang panjang dengan Tuhan, “Siapakah aku ini” (ayat 11). Kemudian Tuhan berfirman kepada Musa tentang siapa Dia: “Aku adalah AKU” (ayat 14). Mustahil bagi kita untuk menjelaskan nama yang misteri itu, kerana Tuhan kita yang tidak dapat dijelaskan sedang menjelaskan hadirat-Nya yang kekal kepada Musa.
Kesedaran akan kelemahan kita adalah sesuatu yang sihat. Tetapi jika kita menggunakannya sebagai satu alasan untuk menghalang Tuhan memakai kita, kita menghina Dia. Ini kerana kita sebenarnya mengatakan bahawa Tuhan itu tidak cukup baik.
Soalnya bukan Siapakah aku? Tetapi Siapakah Dia yang disebut AKU?