Semasa mengikut pemandu taman itu, saya mengambil nota sementara dia mengajar tentang tumbuhan di hutan asal Bahamas. Dia memberitahu kami tentang pokok-pokok yang harus kami elakkan. Menurutnya, pokok yang beracun mengeluarkan getah berwarna hitam yang akan menyebabkan ruam yang sakit dan gatal. Tetapi jangan risau! Penawarnya selalu boleh didapati tumbuh di sebelah pokok tersebut. “Potong bahagian kulit berwarna merah pada pokok gam elemi itu, dan sapukan getahnya pada bahagian ruam. Anda pasti akan sembuh dengan segera,” katanya.

Saya terkejut sehingga pensel saya hampir terjatuh. Saya tidak pernah menduga bahawa saya boleh mendapat gambaran tentang penyelamatan di dalam hutan. Tetapi melalui pokok gam elemi, saya melihat Yesus. Dia adalah penawar yang tersedia bagi racun dosa saya. Seperti kulit berwarna merah pada pokok itu, demikianlah darah Yesus memberi penyembuhan.

Nabi Yesaya memahami bahawa manusia memerlukan penyembuhan. Dosa yang bagaikan ruam telah menjangkiti kita. Yesaya menjanjikan bahawa penyembuhan kita akan datang melalui “seorang yang menderita” yang akan menanggung derita penyakit kita (Yesaya 53:4). Orang yang dimaksudkan itu ialah Yesus. Kita berpenyakit, tetapi Kristus telah rela menderita demi menggantikan kita. Apabila kita percaya kepada-Nya, kita akan sembuh daripada penyakit dosa kita (ayat 5). Mungkin ini akan mengambil masa seumur hidup untuk belajar hidup sebagai orang yang sembuh—menyedari dosa-dosa kita dan menolaknya demi mendapatkan identiti baru—tetapi kerana Yesus, kita pasti boleh melakukannya.