Apabila Kerry dan Paul berkahwin, mereka tidak tahu untuk memasak. Namun pada suatu malam, Kerry cuba membuat spageti—hidangan itu begitu banyak sehingga pasangan itu harus makan lagi pada waktu makan malam keesokan harinya. Pada hari ketiga, Paul menawarkan diri untuk memasak, dengan menggandakan jumlah pasta dan sos, serta berharap makanan dalam periuk besar itu akan mencukupi sehingga hujung minggu. Ketika pasangan itu duduk untuk makan pada malam itu, akhirnya Kerry berkata, “Saya sudah jemu dengan spageti.”

Bayangkan anda harus mengambil makanan yang sama seperti orang Israel selama 40 tahun. Setiap pagi mereka mengumpulkan “makanan hebat” yang manis, yang dibekalkan oleh Tuhan dan memasaknya (mereka tidak boleh menyimpan lebihan makanan kecuali pada hari berikutnya ialah hari Sabat, Keluaran 16:23-26). Sudah pasti mereka menjadi sungguh kreatif—membakarnya, merebusnya (ayat 23). Tetapi, mereka sangat merindukan makanan yang baik di Mesir (ayat 3; Bilangan 11:1-9), walaupun makanan yang dianggap berkhasiat itu dinikmati dengan harga yang mahal, yakni dengan cara yang kejam serta melalui perhambaan!

Kita juga kadangkala mungkin berasa bahawa kehidupan kita tidak sama seperti dahulu. Atau mungkin “kesamaan” kehidupan ini telah menyebabkan kita tidak berpuas hati. Tetapi Keluaran 16 menceritakan kesetiaan Tuhan dalam memenuhi keperluan orang Israel, supaya mereka percaya dan bersandar kepada penjagaan-Nya setiap hari.

Tuhan berjanji untuk memberikan segala yang kita perlukan. Dia memenuhi kehendak kita dan mengisi jiwa kita dengan “segala yang baik” (Mazmur 107:9).