Mary Lee ialah seekor ikan yu putih yang hampir sepanjang 5 meter dan seberat 1,600 kilogram, yang ditemukan oleh para ahli kelautan dari pantai timur Amerika Syarikat pada tahun 2012. Pemancar yang dipasang pada sirip dorsalnya akan dikesan oleh satelit apabila ikan ini muncul ke permukaan air. Selama 5 tahun, pergerakan Mary Lee telah menjadi perhatian ramai dalam talian oleh semua orang daripada penyelidik sampai kepada pelayar Internet. Dia dikesan hampir sejauh 64,000 kilometer sehingga satu hari isyaratnya telah berhenti—mungkin kerana bateri pada pemancarnya telah tamat tempoh.

Pengetahuan dan teknologi manusia hanya sampai sejauh ini. Mereka yang “mengikut” Mary Lee telah kehilangan jejaknya, tetapi anda dan saya tidak boleh mengelakkan daripada pemerhatian Tuhan setiap waktu dalam kehidupan kita. Daud berdoa, “Ke manakah aku dapat pergi untuk menjauhkan diri daripada-Mu? Ke manakah aku dapat lari dari hadirat-Mu? Jika aku pergi ke syurga, Engkau di sana; jika aku tidur di alam maut, Engkau di sana juga” (Mazmur 139:7-8). “Pengetahuan-Mu tentang diriku sangat dalam; terlalu dalam bagi pengertianku,” katanya dengan penuh kesyukuran (ayat 6).

Tuhan memilih untuk mengenal kita kerana Dia mengasihi kita. Dia amat mengambil berat tentang kita dengan bukan sahaja untuk mengamati kehidupan kita, tetapi juga masuk ke dalamnya dan menjadikannya baharu. Dia mendekati kita melalui kehidupan, kematian, dan kebangkitan Yesus, sehingga kita juga dapat mengenal Dia dan mengasihi-Nya selama-lamanya. Kita tidak dapat pergi jauh melampaui jangkauan kasih Tuhan.