Jim menjadi tidak keruan apabila berkongsi tentang masalah yang dihadapinya dengan rakan pasukan sekerjanya: perselisihan faham, sikap menghakimi, dan salah faham. Selepas mendengar dengan sabar akan kebimbangannya selama satu jam, saya mencadangkan, “Mari kita bertanya kepada Yesus apa yang Dia mahu kita lakukan tentang keadaan ini.” Kami duduk diam selama lima minit. Kemudian sesuatu yang luar biasa berlaku. Kami berdua merasakan kedamaian Tuhan melingkupi kami seperti selimut. Kami lebih santai ketika kami mengalami hadirat dan pimpinan-Nya, dan kami berasa yakin untuk mengharungi kesukaran-kesukaran itu.
Petrus, salah seorang pengikut Yesus, memerlukan hadirat Tuhan yang memberi penghiburan. Suatu malam dia dan pengikut-pengikut yang lain belayar melintasi Tasik Galilea ketika badai kuat berlaku. Dengan tiba-tiba, Yesus muncul dengan berjalan di atas air! Sewajarnya ini menyebabkan para pengikut berasa terkejut. Dia meyakinkan mereka: “Tabahkan hati kamu! Aku Yesus. Jangan takut” (Matius 14:27). Petrus dengan gopoh bertanya kepada Yesus jika dia juga boleh berjalan di atas air. Petrus pun melangkah keluar dari perahu dan berjalan menuju kepada Yesus. Tetapi dengan segera dia kehilangan tumpuan, dan menyedari tentang bahaya serta kemustahilan bagi manusia berjalan di atas air, dan mula tenggelam. Dia berseru, “Ya, Tuhan, selamatkanlah aku!” Dan Yesus dengan penuh kasih menyelamatkannya (ayat 30-31).
Seperti Petrus, kita dapat mengetahui bahawa Yesus, Anak Tuhan, menyertai kita walaupun dalam ribut kehidupan!
ILHAM
Kitab-kitab Matius dan Markus menghuraikan dua peristiwa yang berlainan apabila Yesus menenangkan ribut di atas tasik Galilea di depan pengikut-pengikut-Nya yang takut,. Dalam peristiwa pertama , Yesus sedang tidur di bahagian belakang perahu itu apabila ribut mengancam untuk menenggelamkannya (Matius 8:23-27; Markus 4;35-41). Dalam peristiwa kedua, pengikut-pengikut sedang menyeberangi tasik itu sendiri apabila Yesus datang kepada mereka dengan berjalan di atas air (Matius 14:22-33; Markus 6:45-51).Walaupun Lukas hanya menghuraikan saat apabila Yesus sedang tidur dalam perahu (8:22-25) dan Yohanes hanya menghuraikan ribut yang berlaku apabila Dia berjalan di atas air (6:6-21), peristiwa-peristiwa dalam Matius dan Markus menunjukkan kita bahawa setelah Kristus melangkah ke dalam perahu dan menenangkan ribut dengan hadirat-Nya, pengikut-pengikut telah bersaksi bahawa Dia menenangkan ribut dengan perintah-Nya.