Brian sememangnya perlu menjadi penunjuk tempat duduk semasa perkahwinan saudara lelakinya, tetapi dia tidak hadir. Memang difahami para ahli keluarganya berasa kecewa, termasuklah adik perempuannya Jasmine yang menjadi pembaca Alkitab pada hari itu. Pada majlis itu dia membaca 1 Korintus 13 dengan baik sekali daripada petikan Alkitab, yang terkenal mengenai kasih. Namun selepas majlis tersebut, ketika ayahnya meminta dia menyampaikan hadiah hari jadi kepada Brian, dia berasa berat hati. Dia mendapati dirinya lebih sukar untuk mengamalkan kata-kata tentang kasih daripada sekadar membacanya. Walau bagaimanapun, sebelum petang itu, dia mengubah fikirannya dan berkata, “Saya tidak boleh berdiri dan membaca Alkitab tentang kasih tetapi tidak menerapkan dalam kehidupan.”
Pernahkah anda menerima teguran daripada Alkitab yang anda baca atau dengar, tetapi mendapati sukar untuk dilaksanakan? Anda tidak bersendirian. Lebih mudah membaca dan mendengar firman Tuhan daripada mematuhinya. Itulah sebabnya cabaran Yakobus adalah begitu tepat: “Janganlah tipu diri sendiri dengan hanya mendengarkan firman-Nya. Sebaliknya, lakukanlah apa yang difirmankan-Nya” (Yakobus 1:22). Ilustrasinya tentang cermin membuat kita tersenyum kerana kita tahu apa yang dimaksudkan untuk memerhatikan sesuatu tentang diri kita yang memerlukan perhatian. Tetapi kita tertipu jika kita berfikir bahawa memerhatikan sahaja sudah cukup. Apabila Yakobus mengarahkan kita “mendalami” kebenaran Tuhan (ayat 25), dia mendorong kita berusaha untuk mengamalkan kebenaran, seperti dilakukan oleh Jasmine. Tuhan memanggil kita melaksanakannya, dan firman-Nya sememangnya layak ditaati oleh semua orang.