Kisah ini berlaku pada tahun 1763, masa itu Augustus Toplady sedang menempuh perjalanan di tepi tebing jalan di Somerset, England. Dia berteduh di dalam sebuah gua untuk melindungi diri daripada pancaran kilat dan hujan lebat. Ketika dia memandang ke arah gaung Cheddar, dia memikirkan berkat perlindungan dan kedamaian dalam Tuhan. Sementara menunggu di tempat itu, dia mula menulis sebuah lagu pujian, “Batu Zaman,” (Rock of Ages) dengan baris pembukaannya yang tidak dapat dilupakan: “Pada-Mu Batu Zaman, aku memohon perlindungan.”.

Kita tidak tahu jika pastor yang muda itu berfikir tentang pengalaman Musa di celah-celah batu semasa menulis lagu tersebut (Keluaran 33:22), tetapi mungkin memang begitu. Kisah Keluaran menceritakan Musa yang mencari keyakinan dan respons daripada Tuhan. Ketika Musa memohon kepada Tuhan untuk memperlihatkan kemuliaan-Nya, Tuhan menjawab dengan belas kasihan-Nya, memberitahu bahawa seorang pun “tidak boleh melihat wajah-Ku, kerana tiada manusia yang tetap hidup setelah melihat wajah-Ku” (ayat 20). Dia memasukkan Musa ke dalam celah bukit batu ketika Dia lalu, membenarkan Musa hanya melihat belakang-Nya serta memberitahu Musa bahawa Tuhan menyertai dia.

Kita boleh percaya sebagaimana Tuhan berfirman kepada Musa, “Aku akan ikut engkau, dan Aku akan memberikan ketenangan fikiran kepadamu” (ayat 14), demikian juga kita dapat mencari perlindungan dalam Dia. Kita mungkin mengalami banyak badai dalam kehidupan kita, seperti yang dialami oleh Musa dan pastor berbangsa Inggeris dalam cerita tersebut, tetapi apabila kita berseru kepada-Nya, Dia akan memberi kita ketenangan yang selalu menyertai kita.