Saya, anak saudara perempuan dan anaknya, Kailyn yang berusia empat tahun, telah meluangkan masa yang indah bersama pada suatu petang Sabtu. Kami suka meniup buih di halaman luar, mewarnakan buku warna bertemakan puteri, serta menikmati sandwic dengan mentega kacang dan jeli. Ketika mereka masuk ke dalam kereta untuk pulang, Kailyn dengan wajah manis menjerit dari tingkap kereta yang dibuka, “Jangan lupakan saya, Mak Cik Anne.” Saya dengan cepat berjalan ke arah kereta dan berbisik, “Saya tidak dapat melupakan kamu. Saya janji akan jumpa dengan kamu tidak lama lagi.”

Dalam Kisah Rasul-Rasul 1, para pengikut menyaksikan ketika Yesus “diangkat ke syurga, sementara mereka memandang Dia” (ayat 9). Saya tertanya-tanya, mungkin mereka berfikir bahawa mereka akan dilupakan oleh Tuan mereka. Tetapi Dia telah berjanji mengutus Roh-Nya untuk hidup di kalangan mereka, dan memberikan kuasa kepada mereka untuk mengatasi penganiayaan yang akan datang (ayat 8). Dia juga mengajar mereka bahawa Dia akan pergi untuk menyediakan tempat bagi mereka dan akan kembali serta membawa mereka bersama-sama Dia (Yohanes 14:3). Namun mereka pasti tertanya-tanya berapa lama mereka perlu menunggu. Mungkin mereka mahu berkata, “Jangan lupakan kami, Yesus!”

Bagi kita yang telah percaya kepada Yesus, Dia hidup di dalam kita melalui Roh Kudus. Kita mungkin tertanya-tanya bila Dia akan datang kembali dan memulihkan kita serta ciptaan-Nya. Hal itu pasti akan berlaku—Dia tidak akan melupakan kita. “Oleh itu, hendaklah kamu saling menggalakkan dan saling menguatkan” (1 Tesalonika 5:11).