Dalam buku kanak-kanak, Love Letters from God (Surat Cinta Tuhan), penulis Glenys Nellist menjemput anak-anak berinteraksi dengan Tuhan dengan cara yang sangat peribadi. Dalam buku kanak-kanak ini, sebuah nota daripada Tuhan akan diselitkan dalam setiap cerita, dan ruangan kosong disediakan untuk diisikan nama anak. Dengan menjadikan kebenaran firman sesuatu yang peribadi, ini akan menolong para pembaca muda memahami bahawa Alkitab bukan sekadar sebuah buku cerita. Tetapi mereka diajar bahawa Tuhan mahu membina satu hubungan dengan mereka, dan Dia berbicara kepada anak-anak yang sangat dikasihi-Nya melalui Alkitab.

Saya membeli buku ini untuk anak saudara saya dan mengisikan namanya pada setiap nota daripada Tuhan. Dia begitu gembira ketika melihat namanya dan berkata, “Tuhan juga mengasihi aku!” Sungguh menghibur apabila kita sendiri mengetahui tentang kasih Pencipta kita yang mendalam dan sempurna.

Ketika Tuhan berbicara kepada orang Israel secara langsung melalui nabi Yesaya, Dia menarik perhatian mereka ke langit. Tuhan mengesahkan Dia yang “menciptakan bintang-bintang” (Yesaya 40:26), menentukan nilai dan fungsi setiap biji bintang, dan mengarahkan setiap satu dengan kasih. Dia meyakinkan umat-Nya, Dia tidak akan melupakan atau kehilangan satu pun bintang itu … atau seorang anak pun yang dikasihi-Nya dengan kasih abadi serta kesudahan yang pasti.

Ketika kita merayakan janji-janji intim Tuhan Yang Maha Esa, dan mengisytiharkan kasih dalam Alkitab, kita dapat menuliskan nama kita. Kita dapat percaya dan mengisytiharkan dengan sukacita seperti kanak-kanak, “Tuhan juga mengasihi aku!”