Samuel Mills dan empat rakannya sering berkumpul untuk berdoa agar Tuhan menghantar lebih ramai orang untuk berkongsi berita baik tentang Yesus. Pada suatu hari, tahun 1806, selepas kembali daripada pertemuan doa, mereka terperangkap dalam ribut petir dan berlindung di dalam timbunan jerami. Pertemuan doa mingguan mereka kemudiannya dikenali sebagai Persekutuan Doa Haystack (timbunan jerami), yang menghasilkan pergerakan misi global. Hari ini Haystack Prayer Monument (Monumen Doa Haystack) didirikan di Williams College di Amerika Syarikat sebagai peringatan tentang apa yang boleh dilakukan oleh Tuhan melalui doa.
Bapa kita yang di syurga bersukacita apabila anak-anak-Nya mendekati Dia dengan permohonan yang biasa. Ini seperti persekutuan keluarga yang semua orang berkumpul dengan satu tujuan, serta memikul beban bersama.
Rasul Paulus mengetahui bahawa Tuhan menolongnya melalui doa-doa orang lain sewaktu dia mengalami penderitaan yang teruk: “Dia akan menyelamatkan kami lagi. Dengan bantuan doa kamu” (2 Korintus 1:10-11). Tuhan telah memilih untuk menggunakan doa kita—terutamanya doa kita bersama-sama—untuk mencapai pekerjaan-Nya di bumi. Tidak hairan ayat itu dilanjutkan: “Allah akan memberkati kami sebagai jawapan kepada doa-doa kamu untuk kami. Lalu banyak orang akan bersyukur kepada Allah kerana kami.”
Mari kita berdoa bersama-sama supaya kita juga dapat bersukacita dalam kebaikan Tuhan. Bapa kita yang penuh kasih sedang menunggu kita datang kepada-Nya supaya Dia dapat bekerja melalui kita dengan cara yang jauh melebihi apa yang kita bayangkan.