Iklan itu membuat saya tersenyum: “Sarung kaki yang paling selesa dalam sejarah.” Kemudian, bagi melanjutkan promosi sarung kaki seperti yang disebarkan, pengiklan itu mengatakan bahawa sarung kaki ialah benda yang paling diperlukan di tempat perlindungan bagi orang yang tidak berumah, syarikat itu akan menyumbangkan sepasang sarung kaki kepada orang yang memerlukannya bagi setiap pembelian.
Bayangkan senyuman lebar pada wajah lelaki itu ketika Yesus menyembuhkan kakinya yang tidak dapat berjalan selama 38 tahun (Yohanes 5:2-8). Sekarang, bayangkan wajah para penguasa di Rumah Tuhan yang melawan. Mereka tidak tertarik akan kepedulian Yesus terhadap kaki dan perasaan orang itu yang tidak menerima sebarang pertolongan selama ini. Sebaliknya mereka menuduh lelaki itu dan Yesus melanggar peraturan-peraturan agama yang tidak membenarkan orang bekerja pada hari Sabat (ayat 9-10, 16-17). Mereka melihat peraturan sedangkan Yesus melihat keperluan untuk memberi belas kasihan.
Pada ketika ini lelaki itu tidak tahu siapa yang telah memberikannya kaki baru. Hanya kemudian barulah dia dapat mengatakan bahawa Yesus yang menyembuhkannya (ayat 13-15). Yesus yang sama ini membenarkan kaki-Nya sendiri dipakukan pada kayu salib untuk ditawarkan kepada lelaki itu—dan kita—berita yang terbaik bagi tubuh, fikiran, dan hati yang remuk sepanjang zaman ini.