Dalam filem Denmark Babette’s Feast (Pesta Babette), seorang pelarian Perancis muncul di sebuah kampung di tepi pantai. Dua saudari tua, iaitu pemimpin agama dalam masyarakat itu menerima dia ke dalam keluarga, dan selama 14 tahun Babette bekerja sebagai pengurus rumah mereka. Setelah Babette memperoleh sejumlah wang yang banyak, dia mengundang 12 orang dari gereja bersama-sama menikmati makanan Perancis yang mewah seperti kaviar, puyuh dalam pastri lapis, dan banyak lagi.

Apabila satu demi satu sajian dihidangkan, para tetamu mula bersantai; ada yang mendapat pengampunan, ada yang memulihkan hubungan mereka, dan ada yang mula mengingat mukjizat yang pernah disaksikan mereka, serta kebenaran yang telah dipelajari mereka pada zaman kanak-kanak. “Masih ingatkah apa yang diajarkan kepada kita?” tanya mereka. “Anak-anak, kasihilah satu sama yang lain.” Ketika jamuan itu berakhir, Babette mendedahkan kepada kedua-dua saudari tua itu bahawa dia telah menghabiskan semua yang dimilikinya ke atas makanan tersebut. Dia telah memberikan segala-galanya—termasuk melepaskan peluang untuk kembali kepada kehidupan lamanya sebagai seorang ketua tukang masak yang terkenal di Paris—supaya rakan-rakannya boleh menikmati makan bersama-sama, serta berhati terbuka.

Yesus muncul di bumi sebagai orang asing dan pelayan, dan Dia memberikan segala sesuatu supaya kelaparan rohani kita dapat dipenuhi. Dalam kitab Yohanes, Dia mengingatkan para pendengar-Nya bahawa ketika nenek moyang mereka kelaparan di padang gurun, Tuhan menyediakan burung puyuh dan roti (Keluaran 16). Makanan itu memuaskan untuk sementara waktu, tetapi Yesus berjanji bahawa mereka yang menerima Dia sebagai “roti yang memberikan hidup” akan “hidup selama-lamanya” (Yohanes 6:48, 51). Pengorbanan-Nya memenuhi keinginan rohani kita.