Lagu hebat “This Is Me” (Inilah Aku), ialah lagu persembahan yang tidak dapat dilupakan dalam filem The Greatest Showman. Filem muzikal yang mendapat sambutan hangat itu berdasarkan kehidupan P. T. Barnum dan ahli-ahli sarkasnya. Watak-watak dalam filem telah menderita ejekan dan penghinaan secara lisan kerana mereka kelihatan “gagal” mengikut norma masyarakat. Lirik yang dinyanyikan mereka menggambarkan kata-kata bagaikan peluru yang merosakkan dan pisau yang meninggalkan parut.
Kepopularan lagu ini menunjukkan ramai orang menanggung luka yang tidak kelihatan tetapi nyata, disebabkan oleh kata-kata yang berupa senjata.
Yakobus memahami bahaya dalam kata-kata kita yang mungkin menyebabkan kemusnahan dan kerosakan jangka panjang, oleh itu dia menyebut “lidah itu jahat dan tidak dapat dikuasai, serta penuh dengan racun yang mematikan” (Yakobus 3:8). Dengan menggunakan gambaran yang mengejutkan ini, Yakobus menegaskan keperluan yang mendesak bagi orang percaya menyedari bahawa kata-kata mereka mempunyai kuasa yang besar. Lebih-lebih lagi, dia menekankan percanggahan dalam sikap orang yang memuji Tuhan dengan ucapan syukur, kemudian mengutuk orang yang diciptakan menurut rupa Tuhan (ayat 9-10).
Lagu “This Is Me” juga mencabar wajah sebenar dalam serangan lisan dengan menegaskan bahawa setiap manusia adalah mulia—kebenaran yang disahkan oleh Alkitab. Alkitab membuktikan keunikan dan keindahan setiap manusia, bukan kerana penampilan luaran atau apa pun yang telah kita lakukan, melainkan kerana kita masing-masing diciptakan dengan indah oleh Tuhan—karya-Nya yang luar biasa (Mazmur 139:14). Kata-kata kita kepada satu sama lain dan tentang sesama kita juga mempunyai kuasa untuk memperkukuh kebenaran ini.