Ini hanya suatu sentuhan, tetapi itu cukup membuat semuanya berbeza bagi Colin. Ketika pasukan kecilnya sedang mempersiapkan diri untuk melakukan kerja amal di sebuah wilayah yang terkenal dengan menentang orang yang percaya kepada Yesus, tahap tekanannya mula meningkat. Apabila dia berkongsi kebimbangannya dengan seorang rakan sepasukannya, kawannya meletakkan tangan di bahunya, dan berkongsi beberapa kata-kata dorongan kepadanya. Colin kini mengimbas kembali sentuhan sederhana itu sebagai titik perubahan, satu peringatan yang penuh kuasa tentang kebenaran sederhana bahawa Tuhan menyertainya.

Yohanes, sahabat rapat dan pengikut Yesus, telah dibuang ke pulau Patmos yang sunyi kerana pemberitaan Injil, ketika itu dia mendengar “suara yang kuat … seperti bunyi trompet” (Wahyu 1:10). Peristiwa yang mengejutkan itu diikuti dengan penglihatan Tuhan sendiri, dan Yohanes “meniarapkan diri di hadapan-Nya seperti orang mati.” Tetapi pada masa yang menakutkan itu, dia mendapat penghiburan dan keberanian. Yohanes menulis, “Dia meletakkan tangan kanan-Nya padaku lalu berfirman, ‘Janganlah takut! Akulah yang awal dan yang penghujung’ ” (ayat 17).

Tuhan membawa kita keluar dari zon keselesaan untuk menunjukkan kepada kita perkara-perkara baru, untuk meregangkan kita, dan menolong kita bertumbuh. Tetapi Dia juga memberi keberanian dan penghiburan agar kita boleh melalui setiap keadaan. Dia tidak akan meninggalkan kita seorang diri dalam ujian kita. Dia berkuasa ke atas segala perkara. Dia meletakkan kita di tangan-Nya.