Seorang kawan telah memberi saya sebatang pokok hiasan yang dimilikinya selama lebih daripada 40 tahun. Pokok ini sama dengan ketinggian saya, dan menghasilkan daun-daun yang besar dari tiga cabang pokok berasingan yang kurus kering. Selepas beberapa masa, berat daun-daunnya telah menyebabkan ketiga-tiga cabang melengkung ke arah lantai. Untuk meluruskan cabang-cabang tersebut, saya meletakkan baji di bawah pasu dan meletakkannya dekat dengan tingkap supaya cahaya matahari dapat menarik daun-daunnya ke atas dan membantu memulihkan bentuknya.
Tidak lama selepas menerima tumbuhan itu, saya melihat pokok yang sama di bilik menunggu sebuah syarikat tempatan. Pokok itu juga bertumbuh daripada tiga batang tangkai yang kurus panjang, tetapi pokok ini telah diikat bersama untuk membentuk saiz yang lebih besar, dan mempunyai teras yang lebih kuat. Tumbuhan ini berdiri tegak tanpa sebarang sokongan.
Dua orang boleh tinggal dalam “pasu” yang sama selama bertahun-tahun, namun tumbuh berasingan dan kurang berpeluang untuk mengalami berkat Tuhan. Namun, apabila kehidupan mereka dijalin bersama dengan Tuhan, kestabilan dan kerapatan yang lebih besar akan terbentuk. Hubungan mereka akan semakin kuat. “Tiga utas tali yang dipintal menjadi satu, susah diputuskan” (Pengkhutbah 4:12).
Seperti pokok hiasan itu, perkahwinan dan persahabatan memerlukan pemeliharaan. Untuk memelihara hubungan ini, kesatuan secara rohani harus wujud supaya Tuhan hadir sebagai pusat bagi setiap perikatan yang penting ini. Dia merupakan Pembekal kasih dan rahmat yang tidak berkesudahan—elemen-elemen yang kita paling perlukan untuk kekal bersatu dengan satu sama lain.