Orang bertanya kepada saya jika saya mempunyai rancangan lima tahun bagi masa hadapan. Bagaimanakah saya dapat membuat perancangan lima tahun “di jalan” yang saya tidak pernah melaluinya?
Saya fikir kembali pada tahun 1960-an ketika saya melibatkan diri untuk melayani pelajar di Universiti Stanford. Mata pelajaran utama saya ialah pendidikan jasmani semasa di universiti dan menikmati banyak keseronokan, tetapi keputusan saya sederhana sahaja. Saya berasa diri saya kurang berupaya untuk pelayanan ini. Kebanyakan hari saya merayau di sekitar kampus, seumpamanya seorang buta yang meraba-raba dalam kegelapan, meminta petunjuk daripada Tuhan apa yang saya perlu lakukan. Pada suatu hari, seorang pelajar “tiba-tiba” meminta saya memimpin kelompok penyelidikan Alkitab. Itulah permulaannya.
Tuhan tidak berdiri di simpang jalan dan menunjukkan jalan: Dialah pemandu, bukan tiang tanda. Dia berjalan bersama kita, membawa kita ke jalan yang kita tidak pernah fikirkan. Apa yang perlu kita lakukan adalah menyertai Dia.
Jalannya tidak mudah; ada laluan yang “berlekak-lekuk” di sepanjang jalan. Tetapi Tuhan telah berjanji Dia akan “mengubah kegelapan mereka menjadi cahaya” dan Dia “pasti melaksanakan segala-galanya” (Yesaya 42:16). Dia akan menyertai kita sepanjang perjalanan hidup.
Paulus berkata bahawa Tuhan “dapat melakukan perkara yang jauh lebih banyak daripada yang kita minta atau fikirkan” (Efesus 3:20). Kita boleh merancang dan membayangkannya, tetapi imaginasi Tuhan kita adalah jauh melampaui rancangan kita. Kita tidak harus berkeras dengan rancangan sendiri, tetapi melihat pimpinan Tuhan.