Dalam buku These Are the Generations, watak utama Encik Bae menggambarkan kesetiaan Tuhan dan kuasa Berita Baik yang menembusi kegelapan. Datuk dan neneknya, ibu bapa, serta ahli-ahli keluarganya sendiri dianiayai kerana mereka berkongsi kepercayaan mereka dalam Kristus. Tetapi sesuatu perkara yang menarik telah berlaku. Ketika Encik Bae dipenjarakan kerana berkongsi tentang Tuhan kepada rakannya: imannya bertumbuh. Begitu juga dengan ibu bapanya apabila mereka dimasukkan ke kem tahanan—mereka tetap berkongsi tentang kasih Kristus di situ. Encik Bae mendapati bahawa janji Tuhan dalam Yohanes 1:5 adalah benar: “Cahaya ini bersinar dalam kegelapan, dan kegelapan tidak dapat memadamkannya.”

Sebelum penangkapan dan penyaliban Yesus, Dia memberi amaran kepada para pengikut-Nya mengenai kesusahan yang bakal dihadapi oleh mereka. Mereka akan ditolak oleh orang yang “akan melakukan perkara-perkara ini terhadap kamu, kerana mereka belum mengenal Bapa ataupun Aku” (16:3). Tetapi Yesus memberikan kata-kata penghiburan ini: “Di dunia kamu akan menderita, tetapi tabahkanlah hati kamu, kerana Aku sudah mengalahkan dunia!” (ayat 33).

Walaupun ramai orang yang percaya kepada Yesus tidak mengalami penganiayaan sehingga tahap yang ditanggung oleh keluarga Encik Bae, kita pasti juga akan menghadapi kesusahan. Tetapi kita tidak perlu dipenuhi kebencian atau kemarahan. Kita mempunyai Penolong—Roh Kudus yang dijanjikan oleh Yesus. Kita boleh berpaling kepada-Nya untuk mengalami pimpinan dan penghiburan-Nya (ayat 7). Kuasa hadirat Tuhan dapat membantu kita untuk bertahan pada masa kegelapan.