Rama-rama terbang keluar dan masuk dari bunga ibu saya. Semasa zaman kanak-kanak, saya rindu sekali untuk menangkapnya. Saya pun berlari dari belakang rumah ke bahagian dapur untuk mengambil sebuah balang kaca, tetapi ketika saya tergesa-gesa kembali, kaki saya tersandung dan terpukul pada konkrit keras. Balang itu pecah di bawah pergelangan tangan saya dan meninggalkan parut yang memerlukan 18 jahitan. Hari ini, parut itu kelihatan seperti ulat yang melilit di pergelangan tangan saya, yang menceritakan kedua-dua kisah tentang kecederaan dan penyembuhan.

Ketika Yesus menampakkan diri kepada para pengikut-Nya selepas kematian-Nya, Dia membawa bersama bekas-bekas luka-Nya. Yohanes mencatatkan bahawa Tomas ingin melihat “bekas paku pada tangan-Nya” dan Yesus menjemput Tomas “letakkanlah jarimu di sini, dan lihatlah tangan-Ku. Hulurkanlah tanganmu dan letakkanlah pada rusuk-Ku” (Yohanes 20:25, 27). Untuk menunjukkan Dia ialah Yesus yang sama, Dia bangkit daripada kematian dengan bekas luka penderitaan-Nya yang masih kelihatan.

Bekas-bekas luka Yesus membuktikan bahawa Dia menjadi Penyelamat dan menceritakan kisah penyelamatan kita. Tanda-tanda tusukan pada tangan dan kaki-Nya, serta rusuk-Nya menunjukkan penderitaan yang dialami-Nya, dan Dia bertahan dan kemudian sembuh bagi kita. Dia melakukannya supaya kita dapat berdamai dengan Dia.

Pernahkah anda fikirkan maksud di sebalik parut Kristus yang diceritakan-Nya?