Di bangunan Katedral St Patrick di Dublin, Ireland, terdapat sebuah pintu yang menceritakan kisah pada lima abad yang lalu. Pada tahun 1492, perebutan kuasa di rantau itu tercetus antara dua keluarga, iaitu keluarga Butlers dan keluarga FitzGeralds. Pergaduhan menjadi sengit sehingga Butlers terpaksa berlindung di bangunan katedral. Sewaktu FitzGeralds datang untuk meminta peletakan senjata, Butlers berasa takut untuk membuka pintu. FitzGeralds kemudian membuka satu lubang pada pintu tersebut dan pemimpin mereka menghulurkan tangannya sebagai tanda perdamaian. Kedua-dua keluarga ini kemudiannya telah berdamai. Permusuhan telah menjadi persahabatan.

Tuhan mempunyai pintu perdamaian yang telah ditulis oleh rasul Paulus dalam suratnya kepada jemaah di Korintus. Dengan inisiatif-Nya dan oleh sebab kasih-Nya yang tidak terhingga, Tuhan menggantikan hubungan manusia yang telah rosak dengan hubungan yang dipulihkan melalui kematian Kristus pada kayu salib. Kita adalah jauh daripada Tuhan pada masa dahulu, tetapi kerana belas kasihan-Nya, Dia tidak meninggalkan kita. Dia mendamaikan hubungan kita dengan Diri-Nya—”Dengan rela hati Allah mengampunkan dosa mereka” (2 Korintus 5:19). Keadilan telah digenapi apabila “Kristus tidak berdosa, tetapi demi kebaikan kita, Allah meletakkan dosa kita pada Dia.” Dengan demikian, kita berbaik semula dengan Allah, apabila kita bersatu dengan Kristus” (ayat 21).

Sebaik sahaja kita menyambut tangan Tuhan dalam perdamaian, kita diberikan tugas penting untuk membawa mesej itu kepada orang lain. Kita mewakili Tuhan yang ajaib dan penuh kasih yang menawarkan pengampunan serta perdamaian kepada semua orang yang percaya kepada-Nya.