Selepas seorang ahli keluarga perempuan saya memeluk agama lain, kawan-kawan Kristian menggesa saya “meyakinkan” dia kembali kepada Yesus. Namun, saya cuba mengasihi dia terlebih dahulu sebagaimana yang dilakukan oleh Kristus —termasuk di tempat-tempat awam apabila beberapa orang melihat dia yang berpakaian “aneh” dengan jengkel. Ada juga yang memberi komen kasar. Seorang lelaki pula menjerit “Balik ke rumah!” kepadanya dari lorinya tanpa mengetahui atau menyedari bahawa dia sudah berada di “rumah”.
Musa mengajar cara yang lebih baik untuk memperlakukan orang yang berpakaian atau memiliki kepercayaan yang berlainan. Dengan mengajar hukum Tuhan mengenai keadilan dan belas kasihan, Musa memerintah anak-anak Israel, “Jangan berlaku kejam terhadap orang asing; kamu tahu rasanya menjadi orang asing, kerana dahulu kamu pun orang asing di Mesir” (Keluaran 23:9). Perintah itu menyatakan keprihatinan Tuhan terhadap semua orang asing, orang yang sering ditindas dan dianiayai, dan ini berulang dalam Keluaran 22:21 dan Imamat 19:33.
Oleh itu, apabila saya meluangkan masa bersama ahli keluarga saya—sama ada di sebuah restoran, di taman, berjalan bersama-sama, atau duduk dan bercakap dengan dia di hadapan rumah saya—saya akan menunjukkan kebaikan dan rasa hormat yang sama, yang saya juga ingini. Itu salah satu cara terbaik untuk mengingatkan dia tentang kasih Yesus, bukan dengan memalukannya kerana menolak Yesus, melainkan dengan mengasihinya sebagaimana Dia mengasihi setiap kita—dengan rahmat Tuhan yang luar biasa.