Saya terjaga dalam kegelapan. Rasanya saya tidur kurang daripada 30 minit dan akan terus terjaga buat seketika. Suami kawan saya sedang terbaring di hospital setelah menerima berita yang sangat menakutkan, “Kanser itu telah kembali dan merebak ke otak dan tulang belakangnya sekarang.” Saya berasa amat sedih untuk mereka. Beban yang amat berat! Namun, entah bagaimana semangat saya dipulihkan melalui doa. Saya menyedari bahawa hal memikul beban adalah sesuatu yang indah. Bagaimanakah hal ini mungkin terjadi?
Dalam Matius 11:28-30, Yesus menjanjikan rehat untuk jiwa yang lelah. Anehnya, rehat-Nya datang ketika kita membongkok di bawah kuk-Nya dan memikul beban-Nya. Dia menjelaskan dalam ayat 30 (ATB), “Sebab kuk yang Kupasang itu enak dan beban-Ku pun ringan.” Apabila kita membenarkan Yesus mengangkat beban kita dan kemudian menambati diri pada kuk Yesus, kita terikat kepada Dia, berjalan seiring dengan Dia dan menurut segala pimpinan-Nya. Apabila kita membongkok di bawah beban-Nya, kita berkongsi penderitaan-Nya, yang akhirnya membolehkan kita turut berkongsi penghiburan-Nya (2 Korintus 1:5).
Kebimbangan saya terhadap kawan saya merupakan beban yang berat. Namun saya bersyukur kerana Tuhan mengizinkan saya mendoakan mereka. Akhirnya, saya tidur semula dan bangun – masih berasa hal memikul beban untuk mereka adalah sesuatu yang indah, tetapi sekarang di bawah kuk yang mudah dan beban yang ringan kerana berjalan dengan Yesus.
ILHAM
Kata-kata Kristus yang memberikan kelegaan kepada orang yang lelah (Matius 11:28-29) kelihatan berhubung kait dengan perbincangan-Nya mengenai penindasan. Dalam Yudaisme, perkataan kuk sering digunakan sebagai metafora untuk merujuk kepada Taurat Tuhan. Sebuah kuk digunakan untuk melatih seekor lembu yang tidak berpengalaman dengan menggabungkannya dengan seekor lembu yang berpengalaman; dengan cara yang sama, hukum Tuhan boleh berfungsi sebagai satu panduan latihan. Tetapi perkataan kuk juga digunakan untuk menggambarkan pemerintahan politik, dan kelegaan untuk menggambarkan kebebasan daripada penindasan. Contohnya, dalam Yesaya 14, Tuhan berjanji untuk membinasakan kuk orang Asyur dan membebaskan umat-Nya (14:7, 25).Kedua-dua Empayar Roma dan guru-guru Taurat pada masa Kristus (pakar Taurat dan orang Farisi) menggunakan kuasa mereka yang membebankan orang (lihat Matius 23:4). Jadi, Yesus menjemput mereka yang menjadi lesu akibat beban begini untuk hidup sebagai umat dalam Pemerintahan Tuhan di bawah pimpinan-Nya yang penuh belas kasihan.