Edward Payson (1783—1827) menjalani hidup yang benar-benar sukar. Kematian adik lelakinya sungguh mengejutkannya. Dia menghidapi penyakit gangguan bipolar (sejenis penyakit mental), dan ditambah lagi migrain yang teruk untuk masa yang lama. Bukan ini sahaja, kemalangan jatuh dari kuda telah mengakibatkan tangannya lumpuh, dan dia hampir mati disebabkan oleh tuberkulosis! Tetapi apa yang mengejutkan ialah dia tidak berputus asa dan kehilangan harapan. Rakan-rakannya berkata bahawa sebelum Edward Payson meninggal dunia, dia amat bersukacita. Bagaimanakah hal ini boleh terjadi?
Dalam surat rasul Paulus kepada jemaah di Roma, dia menyatakan keyakinan penuhnya dalam kasih Tuhan yang nyata tanpa melihat keadaannya. Dia bertanya dengan keberanian, “Jika Allah berpihak kepada kita, siapakah dapat melawan kita?” (Roma 8:31). Jika Tuhan sudah memberikan Anak-Nya yang tunggal iaitu Yesus untuk menyelamatkan kita, maka Dia akan menyediakan semua yang kita perlukan untuk mengakhiri hidup ini dengan baik. Paulus menyenaraikan tujuh situasi yang nampaknya tidak dapat dipikul, yang dihadapinya sendiri: “kesusahan, kesukaran, penganiayaan, kelaparan, kemiskinan, bahaya mahupun kematian” (ayat 35). Dia tidak mengatakan bahawa kasih Kristus akan menghentikan perkara buruk daripada terjadi. Tetapi Paulus berkata bahawa “dalam semuanya kita mendapat kemenangan yang sempurna daripada Dia yang mengasihi kita” (ayat 37).
Walaupun menghadapi ketidakpastian dunia ini, Tuhan boleh dipercayai sepenuhnya, dan kita mengetahui bahawa “tidak ada sesuatu pun yang dapat menghalang Allah mengasihi kita, seperti yang sudah ditunjukkan-Nya melalui Kristus Yesus, Tuhan kita!” (ayat 39).