Ketika menaiki kapal terbang dengan hanya bertemankan anak-anaknya, seorang ibu muda, Jessica berusaha sedaya upaya untuk menenangkan anak perempuannya yang berusia 3 tahun yang mula menendang dan menangis. Kemudian anak lelakinya yang baru berumur 4 bulan juga mula menangis dengan kuat.
Seorang penumpang yang duduk bersebelahan dengan dia segera menawarkan untuk mendukung bayinya itu sementara Jessica mendakap anak perempuannya. Kemudian penumpang itu mengimbas kembali hari-harinya sebagai seorang ayah muda. Dia mula mewarnakan lukisan bersama dengan anak kecil itu sementara Jessica menyusukan bayinya. Dalam penerbangan yang seterusnya, lelaki yang sama itu juga menawarkan diri untuk membantu sekali lagi jika perlu.
Jessica mengimbas kembali, “Saya kagum dengan apa yang dilakukan Tuhan dalam hal ini. [Kami] boleh sahaja ditetapkan untuk duduk bersebelahan dengan sesiapa pun. Tetapi kami telah duduk bersebelahan dengan salah seorang lelaki yang sangat baik hati.”
Dalam 2 Samuel 9, kita membaca satu contoh lagi tentang menunjukkan kebaikan yang rela. Setelah Raja Saul dan anaknya Yonatan terbunuh, beberapa orang menyangka bahawa Daud akan membunuh sesiapa sahaja yang menjadi saingannya untuk merebut takhta. Sebaliknya, dia bertanya, “Adakah sesiapa daripada keluarga Raja Saul yang masih hidup, supaya beta dapat berbuat baik kepadanya menurut janji beta kepada Allah?” (ayat 3). Mefiboset, anak Yonatan, kemudian dibawa kepada Daud yang telah mengembalikan harta warisan kepadanya dan dengan mesra menjemputnya untuk makan bersama-sama sejak itu—seperti salah seorang putera Raja Daud sendiri (ayat 11).
Sebagai anak-anak Tuhan yang sudah mengalami kebaikan Tuhan yang begitu besar, semoga kita juga mencari peluang untuk berbuat baik kepada orang. (Galatia 6:10).